Berita

Majlis Perwakilan Penduduk Lestarikan Warga Tempatan

PUTRAJAYA – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut mengumumkan pelantikan ahli-ahli MPPWP Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam majlis yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 19 April 2014, Tengku Adnan menerangkan bahawa MPPWP mempunyai struktur pentadbiran yang sistematik dan terancang dengan harapan komuniti diberi pengupayaan (empowerment) untuk memimpin dan mentadbir kelompok komuniti sendiri.

“Ini kerana komuniti setempat adalah lebih memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh pendududk di kawasan terbabit manakala Kementerian akan berperanan menyelaras serta menjadi pemudahcara kepada pengurusan MPP.”

Jelasnya, MPPWP dimanifestasikan hasil transformasi yang berlaku bersesuaian dengan fungsi Kementerian yang baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang sebelumnya dikenali dengan MPKB.

Penubuhan MPPWP ini secara khususnya mempunyai objektif tertentu untuk dicapai yang antara objektif utamanya ialah memastikan semua aktiviti modal insan dan kemasyarakatan sampai ke peringkat akar umbi, memastikan isu-isu perbandaran dapat disalurkan kepada kerajaan untuk ditangani dengan cepat dan untuk menggalakkan penyertaan awam dan penduduk setempat dalam pembangunan Wilayah Persekutuan.

“MPPWP merupakan antara agenda penting Kerajaan untuk menyatu padukan penduduk supaya bersatu dan saling bekerjasama menerusi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Seterusnya masyarakat akan lebih memahami hasrat dan kehendak Kerajaan dalam pembangunan negara dan secara tidak langsung, masyarakat akan menyokong agenda yang dibawa oleh Kerajaan terutama di Wilayah Persekutuan.”

Sebagai makluman bersama, keseluruhan MPPWP adalah terdiri daripada 68 Sub Zon iaitu dengan pecahan 11 Sub Zon di WP Putrajaya dan 57 Sub Zon di WP KL. Daripada semua sub zon tersebut 165 orang adalah mewakili MPPWP Putrajaya dan 855 orang mewakili MPPWP KL. Jumlah keseluruhan ahli MPPWP adalah seramai 1020 orang.

125

126

127

130

131

132

133

134