Berita

Sayangi Putrajaya, Tanggungjawab Bersama Pastikan Kesejahteraan Terus Kekal

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua penduduk untuk menanamkan rasa cinta dan menghargai segala kemudahan yang disediakan di kawasan persekitaran termasuklah perumahan dan tempat-tempat awam.

Katanya, kebersihan dan kelestarian persekitaran akan menyumbang kepada masyarakat yang sihat.

“Sikap vandalisme yang menular dalam masyarakat perlu dibenteras dan kita sewajarnya menerapkan rasa cinta terhadap apa yang ada di sekeliling kita termasuklah menjaga harta benda awam agar dapat sama-sama digunakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa meraikan sambutan hari lahir seramai lebih 200 pengundi Cawangan Semarak, Orkid, Kantan dan Rosselle di Blok 5A, Fasa 5, Presint 9 pada 8 Mei 2014 (Khamis).

“Sikap saling hormat menghormati perlu ada yang secara tidak langsung akan dapat mempereratkan hubungan silaturrahim dalam masyarakat dan mencegah wujudnya sikap pentingkan diri. Tentunya ini semua adalah sikap yang amat dituntut dalam Islam,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menerangkan berkaitan kewujudan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang diwujudkan disetiap zon termasuklah di Presint 9.

“MPPWP ini berfungsi untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memastikan setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dapat ditangani dengan lancar dan berkesan.”

Jelas beliau lagi, kerajaan tempatan amat prihatin dengan setiap permasalahan penduduk sebagaimana masalah tempat letak kereta, kenaikan harga barang, masalah air dan sebagainya.

“Kita sentiasa mencari jalan untuk mengatasi perkara yang timbul malah kita tidak mahu kekeliruan berlarutan misalnya masalah penyelenggaraan di kawasan penduduk yang sebelum ini dibuat oleh JKR telah pun diambil alih oleh Perbadanan Putrajaya bagi memastikan perkhidmatan dan hasil yang lebih efisyen.”

Beliau turut berterima kasih kepada rakyat yang memberi sokongan berterusan kepada kerajaan dan berharap sokongan tersebut akan berterusan.

1234

1235

1237

1238

1239

1240

1241

1242

1243

1244

1245