Berita

UMNO Perlu Lihat Kekuatan, Kelemahan Untuk Terus Berkuasa – Najib

KUALA LUMPUR, – Sebagai parti yang ingin terus berkuasa, Umno perlu melihat kepada kekuatannya selain sedar dengan kelemahannya yang boleh diperbaiki, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Umno perlu melalui proses muhasabah diri sepanjang masa dan bersikap lebih terbuka dalam melakukan penambambahbaikan termasuk anggotanya.

“Umpamanya, dalam persekitaran politik hari ini, kita perlu melihat bahawa Umno tidak boleh terus bergantung semata-mata kepada kawasan luar bandar sahaja, tetapi perlu beri perhatian kepada kawasan semibandar dan apa yang dikatakan kampung-kampung bandar.

“Wujudnya kawasan perumahan di bandar tanpa (adanya cawangan) Umno adalah perkara yang harus diberi perhatian oleh kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Umno ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata Umno juga perlu melihat kepada usaha menarik golongan intelek dan cendekiawan menganggotai parti bagi memastikan parti tidak ketandusan nilai intelek dalam kepimpinan di semua peringkat.

ajib yang juga Perdana Menteri berkata golongan ulama harus diberi perhatian untuk duduk sebaris dengan Umno bagi menentukan masa depan Islam dan umatnya.

Beliau turut meminta anggota Umno supaya memahami tentang kepesatan media sosial masa kini dan peranan yang boleh dimainkan mereka menerusi internet bagi meluaskan pengaruh.

“Kita mesti faham kalau dalam media sosial kita tidak boleh bersikap hentam semberono sahaja. Bukan bilangan yang dikatakan blogger yang penting tetapi pengaruh mereka itulah yang menentukan keberkesanan atau pengaruh kita yang sebenarnya,” katanya.

Menurutnya walaupun Umno memerlukan perubahan dalam beberapa pendekatan, namun asas dan prinsip perjuangan yang diperkenalkan pemimpin-pemimpin terdahulu tidak berubah dan masih kekal.

Jika dilihat dari aspek memperjuangkan Islam, beliau berkata Umno adalah parti yang paling besar jasanya dalam mempertahankan syiar Islam di negara ini.

Najib berkata sudah sampai masanya indeks syariah digubal di peringkat antarabangsa supaya ulama muktabar boleh menilai sejauh mana perjuangan Umno itu mengikut lunas-lunas Islam.

“Saya yakin dan percaya indeks syariah, kalau dapat digubal oleh ulama muktabar antarabangsa, akan memperlihatkan Umno telah banyak berjuang untuk menegakkan dan mengembangkan Islam di tanah air kita,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Melayu Terbilang kepada dua tokoh Melayu yang cemerlang dan banyak berjasa kepada masyarakat.

Mereka ialah Tan Sri Hassan Azhari yang merupakan individu yang melaungkan azan sewaktu sambutan pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 dan Tan Sri Dr Salma Ismail yang merupakan wanita Melayu pertama yang Berjaya memperoleh kelayakan doktor di seluruh Malaya pada 1947.

Terdahulu Najib dan Muhyiddin serta anggota-anggota Umno menunaikan solat Maghrib dan mengikuti bacaan Yassin dan tahlil serta doa kesyukuran diikuti solat Isyak di Dewan Tun Razak 4, PWTC sempena sambutan ulang tahun Umno.

10330483_882378001787949_8962584273048287_n

10338868_882378038454612_3544182443122361436_n

IMG_2273

IMG_2295

IMG_2315