Berita

Floria Putrajaya Kembali Lagi Dengan ‘Warna-Warni Harmoni’

PUTRAJAYA – Floria Putrajaya kembali lagi dengan perarakan 15 bot berhias yang bermandikan cahaya, warna-warni dan pelbagai bentuk di pesisiran tasik yang indah di Marina Putrajaya di Presint 5.

Perarakan bot berhias “Magic of the Night 2014” itu akan berlangsung sembilan malam berturut-turut sehingga 22 Jun.

Bertema “Colours of Harmony” (Warna-Warni Harmoni), 15 bot berhias itu yang memaparkan arca tarikan terkenal Malaysia dengan bermandikan cahaya, warna-warni dan bentuk akan belayar di sepanjang pesisiran tasik sepanjang tiga kilometer di Marina Putrajaya.

Berlatarbelakangkan pelbagai seni bina indah di Putarjaya, bot berhias itu juga akan berlabuh di situ untuk memberi peluang kepada orang ramai merakamkan gambar.

Perarakan 15 bot berhias itu akan bermula dari 8.44 malam hingga 10.30 malam bermula hari ini hingga 22 Jun.

“Magic of the Night 2014” dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Marina Putrajaya di sini malam.

Bot berhias yang mengambil bahagian dalam perarakan itu antara lain adalah dari Johor, Kedah, Melaka, Kelantan, Sabah, Sarawak, Selangor serta dua agensi kerajaan – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan/Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ia akan bertanding dalam pelbagai kategori termasuk Bot Berhias Terbaik, Bot Paling Kreatif dan Bot Paling Popular (undian awam).

Dianjurkan bagi tahun keempat, Magic of the Night 2014 merupakan antara acara istimewa dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mempromosikan kepelbagaian alam semulajadi, kebudayaan dan tradisi negara ini.

Dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementeriannya berharap untuk menjadi rakan kongsi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan.

“Kami juga boleh menyumbang kepada Pelan Transformasi Pelancongan 2020,” katanya.

Orang ramai dipelawa mengunjungi dan menyertai acara penuh warna-warni itu yang dijadual bermula dari 8.30 malam hingga 9.30 malam setiap hari dengan pameran statik bot berhias dari 9.30 malam hingga 11.30 malam.

01

02

03

05

06