Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia Untuk Keselesaan Rakyat
PUTRAJAYA – Kesungguhan kerajaan menangani isu perumahan mampu milik dibuktikan dengan realisasi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia untuk keselesaan rakyat. Dalam hal ini, kerajaan merancang membina rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun ke hadapan dan pada masa seterusnya yang melibatkan Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) dan pelbagai agensi swasta yang lain.
Sehubungan itu, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyempurnakan Majlis Cabutan Undi Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Jelas beliau, dana yang diberikan dalam bentuk separuh subsidi manakala harga selebihnya dibayar oleh pembeli mengikut harga berpatutan merupakan langkah kerajaan memastikan rakyat memiliki rumah mampu milik.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita amat prihatin terhadap nasib golongan penjawat awam yang sentiasa memberikan sokongan dan membantu melakukan urus tadbir yang baik,” katanya.
Melalui projek tersebut, kerajaan membantu penjawat awam memiliki kediaman yang mampu dimiliki dan berkualiti dengan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia diletakkan di bawah Perbadanan Putrajaya yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan 5,097 unit rumah manakala 5,239 lagi di bawah tanggungjawab Putrajaya Holdings.
You must be logged in to post a comment.