Berita

Ramadan Dirai, Maidatul Rahman Kembali

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan acara tradisi sempena bulan Ramadan dengan program Maidatul Rahman yang berkonsepkan berbuka puasa bersama para penduduk setempat dan pengunjung sekitar Putrajaya.

Ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya menganggap Maidatul Rahman bukan sekadar program untuk berbuka puasa tetapi ia juga mampu mencetuskan semangat kerjasama dan perpaduan dikalangan masyarakat.

“Dalam kita menjalani puasa di bulan Ramadan ini maka sepenuh kesyukuran dipanjatkan kerana kita dapat menunaikan ibadah tanpa sebarang keuzuran selain pengisian-pengisian penting dan menerapkan rasa keinsafan dikalangan kita,” katanya.

Maidatul Rahman dimulakan sejak hari pertama puasa hinggalah ke- 20 Ramadan di Medan Selera Presint 8 dengan mempelawa masyarakat khususnya para pengunjung dan warga Putrajaya untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Seperti tahun lepas kita siapkan juadah berbuka puasa untuk musafir dan fakir dalam bulan Ramadan ini selain golongan yang bekerja di sekitar kawasan terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menekankan rakyat di negara ini perlu sentiasa mensyukuri nikmat yang diterima bukan hanya berkat dari kesejahteraan tetapi juga limpahan rahmat khususnya juadah harian yang pelbagai dalam bulan Ramadan.

“Program ini juga penting untuk mengeratkan hubungan silaturrahim warga Putrajaya selain amalan gotong-royong yang dilakukan dalam penyediaan juadah serta dapat menyemarakkan amalan bersedekah pada bulan mulia ini,” ujarnya lagi.