Ucapan

Selamat Berpuasa, Raikan Dengan Semangat Perpaduan

Assalamualaikum Warahmataullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana kita dapat kembali menyambut kedatangan Ramadan, bulan mulia ini. Semoga kedatangan Ramadan ini akan menambahkan kekuatan kita untuk bersama-sama menanamkan jihad bagi memperbanyakkan ibadah dan memenuhi setiap ruang yang ada dengan aktiviti berfaedah.

Seharusnya, kita perlulah menanamkan rasa syukur atas kurnia-Nya kepada kita selama ini apatah lagi dalam bulan Ramadan ini, kita dapat bersama-sama menyambut kedatangannya dengan aman dan sejahtera. Kurnia dan rahmat terindah yang Allah SWT berikan kepada kita adalah kebahagiaan dan kesejahteraan sehinggakan kita dapat bersama-sama melakukan amal ibadah tanpa rasa gelisah atau gusar terhadap persekitaran. Ini amat berbeza dengan suasana tidak aman yang dihadapi para saudara kita yang lain sebagaimana di Timur Tengah misalnya apabila mereka berada dalam ketakutan dan tidak tenteram. Semoga negara kita ini terus dihindarkan dari malapetaka dan keburukan serta dipelihara diri kita ini dengan akal fikiran yang matang dan waras.

Marilah kita manfaatkan bulan mulia ini dengan memperbanyakkan amal ibadah dan memperkukuh permuafakatan sesame insan. Semangat kerjasama dan perpaduan akan mendorong kepada kebaikan serta meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT.
Selamat Berpuasa dan Selamat Menunaikan Ibadah.

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen/Ketua UMNO Bahagian Putrajaya