Berita

Solat Hajat Pohon Keselamatan dan Kesejahteraan Penduduk Palestin

PUTRAJAYA – Ibu Pejabat UMNO akan menganjurkan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Palestin yang berdepan dengan kekejaman Israel.

Solat hajat tersebut akan diadakan di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas solat Maghrib pada 11 Julai yang akan turut disertai oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta barisan kepimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Tentera Israel telah melancarkan kira-kira 430 serangan ke atas Gaza sejak tiga hari lalu dengan angka korban penduduk Palestin akibat keganasan rejim Zionis itu meningkat kepada 38 orang termasuk lima kanak-kanak dan dua wanita.

Dalam kenyataan yang lain, Najib yang juga Perdana Menteri Malaysia telah mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya siri serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Terdahulu, majlis berbuka puasa bersama kepimpinan tertinggi UMNO akan turut diadakan di Dewan Merdeka yang akan disertai para pemimpin kompenan Barisan Nasional (BN) dan anak-anak yatim. Turut diadakan solat terawih.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa untuk bersama-sama dalam iftar dan menunaikan tanggungjawab mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin.