Ucapan

Doakan Penduduk Palestin, Ambil Iktibar Dengan Syukuri Nikmat Yang Ada

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Dikala kita mengisi bulan Ramadan dengan penuh kesyukuran dan ketakwaan, kita telah dikejutkan dengan kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang benar-benar menyentap jangtung kita sehinggakan lahir kemarahan yang membuak lantaran saudara kita di sana menjadi korban dan tanah airnya dijadikan medan pertempuran.

Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh rejim Israel adalah bukan tamadun manusia malah terkeluar dari landasan nilai mana-mana bangsa pun di dunia ini. Dalam hal ini sewajarnyalah kita berdiri teguh di belakang kerajaan yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim di luar batasan kemanusiaan oleh rejim Zionis kepada rakyat Palestin.

Kehancuran bandar Gaza akibat bedilan serangan udara Israel tidak hanya memusnahkan rumah kediaman tetapi lebih menyayat hati apabila ratusan nyawa tidak berdosa termasuk wanita, warga emas dan kanak-kanak menjadi korban.

Dalam keadaan negara kita aman, tenteram dan sejahtera maka seharusnya kita menilai kembali apa yang kita miliki, mensyukurinya lantas terus menghargainya dengan tekad bagi mempertahankan bumi tercinta ini daripada mana-mana anasir jahat yang berniat untuk memporak-perandakan negara, baik dari dalam atau dari luar.

Dengan melihat kepada penderitaan rakyat Palestin serta negara-negara Islam bergolak yang lain maka tanyalah kepada diri kita sendiri nikmat keamanan bagaimanakah lagi yang kita mahukan jika dengan apa yang kita miliki hari ini tidak kita syukuri?

Marilah kita sama-sama semarakkan tekad untuk terus melestarian Malaysia sebagai bumi bertuah, rakyatnya makmur dan rukun biarpun berbilang bangsa malah kita sama-sama berkongsi budaya, nilai dan keharmonian demi masa hadapan bersama.

Akhir sekali, saya menyeru rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus melakukan solat hajat dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin agar mereka turut merasa kesejahteraan dan keharmonian bersama.
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa. Wassalam

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen Putrajaya/ Ketua UMNO Bahagian Putrajaya