Berita

Bajet 2015 Untuk Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Mendengar denyutan nadi rakyat berhubung keluhan kenaikan kos sara hidup, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2015 yang memberi fokus kepada meringankan beban mereka, seiring dengan usaha memajukan ekonomi negara.

Ketika membentangkan “Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat” di Dewan Rakyat hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan kali ini menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

“Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti, apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah,” katanya.

Ekonomi yang berorientasikan rakyat itu merujuk kepada kepentingan rakyat bukan sahaja dari segi kos sara hidup, pendapatan isi rumah tetapi juga merangkumi peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan.

KL28_101014_PM_BAJET 2015

Sebanyak RM273.9 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2015 yang meliputi RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Bagi MEMULAKAN usaha membantu rakyat, Najib menarik perhatian kepada cadangan kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga mata peratusan, menjadikan 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai bagi tahun taksiran 2015.

Selain itu, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang bakal dilaksanakan April tahun depan tidak membebankan rakyat kerana mereka yang menggunakan petrol RON95, diesel dan LPG bakal menikmati pelepasan cukai itu.

Berbeza dengan tanggapan kononnya CBP akan menyebabkan kenaikan harga semua barang, Bajet 2015 mencadangkan lebih separuh daripada 944 barang dan perkhidmatan diberi penurunan harga sehingga 4.1 peratus apabila cukai itu dilaksanakan.

Antaranya ialah ubat-ubatan, barangan elektrik, produk tekstil, barangan plastik, perabot, lampin bayi dan bahan makanan seperti beras, daging, telur ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan 200 unit pertama kadar elektrik tidak dikenakan CBP tetapi setelah mendengar maklum balas rakyat, kadar itu dinaikkan kepada 300 unit pertama.

Dalam mengotakan janji kerajaan untuk mendahulukan rakyat, Najib turut mengumumkan perluasan skop barang yang tidak dikenakan CBP iaitu semua jenis buah-buahan tempatan dan import; roti putih dan wholemeal; serbuk kopi, teh dan koko; serta ubat-ubatan penting bagi kegunaan rawatan 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Usaha membantu segenap lapisan rakyat itu meliputi murid sekolah rendah hingga penuntut menara gading; dari nelayan hingga pekebun kecil; golongan miskin hingga golong berpendapatan sederhana; serta penjawat awam dan orang kelainan upaya.

Bagi melegakan kesan peningkatan kos sara hidup, kerajaan mencadangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditingkatkan daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

“Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 pula akan menerima BR1M sebanyak RM750 berbanding RM450 sebelum ini,” kata Najib.

Golongan bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan juga akan menerima BR1M sebanyak RM350, berbanding RM300 sebelum ini.

Najib yang berbaju Melayu jingga berkata kerajaan akan meneruskan komitmennya memberi bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar, yang membabitkan 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan RM540 juta.

Ini bagi meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga pelajar terutamanya yang berpendapatan rendah.

Di samping itu, program Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 bagi setiap pelajar juga diteruskan dengan peruntukan RM325 juta, yang memberi manfaat kepada 1.3 juta pelajar.

Dalam respons kepada keluhan rakyat mengenai kesukaran mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan, perdana menteri mengumumkan 65 lagi pasar tani kekal dan 50 pasar ikan akan dibuka, sebagai tambahan kepada 526 pasar tani dan pasar ikan sedia ada di seluruh negara.

Dalam membela nasib nelayan, Najib mengumumkan elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan antara RM50 dan RM100 daripada RM200 sebulan sekarang, bergantung kepada zon masing-masing.

Bagi nelayan darat (yang terlibat dalam aktiviti akuakultur) sepenuh masa, buat pertama kalinya lebih 44,000 nelayan akan diberi elaun RM200 sebulan.

Malah, katanya rumah nelayan juga diberi perhatian apabila kerajaan menyedia peruntukan tambahan RM250 juta untuk membina dan membaik pulih rumah nelayan tahun depan, selepas memperuntukkan RM300 juta dalam Bajet 2012.

Kerajaan akan memperuntuk RM100 juta untuk melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang bagi melindungi pekebun kecil daripada mengalami kerugian terutama semasa harga pasaran dunia lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan.

Dalam menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan, perdana menteri berkata sebanyak 143,000 unit rumah mampu milik lagi akan dibina di seluruh negara.

Ia terdiri daripada 80,000 unit rumah PR1MA, 26,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat, 12,000 unit Rumah Mesra Rakyat, 5,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 20,000 unit Rumah Aspirasi Rakyat.

Najib berkata kerajaan juga akan terus membela golongan miskin, kanak-kanak, warga emas dan OKU dengan memperuntukkan RM1.2 bilion buat mereka.

“Untuk menunjukkan keprihatinan kepada golongan ini, kerajaan bersetuju kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaikkan daripada RM300 kepada RM350, manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.

“Ini memberi manfaat kepada 110,000 OKU dengan peruntukan sebanyak RM66 juta,” katanya.

Selain itu, pelepasan cukai bagi setiap anak OKU juga dinaikkan dari RM5,000 kepada RM6,000.

Perdana menteri berkata kerajaan juga memperuntukkan RM711 juta kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan bagi tujuan mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak.

Untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam pula, kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan sedia ada.

Selain itu, katanya bagi membolehkan penjawat awam memiliki rumah, kerajaan menaikkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan daripada RM80,000 kepada RM120,000, manakala had kelayakan maksimum dinaikkan daripada RM450,000 kepada RM600,000.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan menurunkan harga minimum rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia daripada RM150,000 kepada RM90,000 dan akan membina 5,380 unit rumah itu lagi di Putrajaya, Bukit Jalil (Kuala Lumpur), Papar (Sabah) dan Bukit Pinang (Kedah).

Berita yang dinantikan penjawat awam juga terjawab apabila Najib mengumumkan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji atau bayaran minimum RM500 untuk mereka, manakala pesara kerajaan diberi bantuan khas sebanyak RM250, yang semuanya dibayar pada Januari depan.

“Saya berharap pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan nanti,” katanya.

Perdana menteri berkata di bawah peruntukan pembangunan dalam Bajet 2015, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi iaitu RM29.3 bilion manakala sektor sosial menerima RM12.6 bilion yang merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

Sektor keselamatan pula diberi peruntukan RM4.9 bilion, sektor pentadbiran am RM1.7 bilion dan simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.

Najib berkata kutipan hasil kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM235.2 bilion pada 2015 yang meningkat RM10.2 bilion berbanding 2014.

Bajet 2015 menggariskan tujuh strategi utama iaitu Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi, Memantap Tadbir Urus Fiskal, Mengupaya Modal Insan dan Keusahawanan; Memperkasa Agenda Bumiputera, Memartabat Peranan Wanita, Membangun Program Transformasi Belia Negara dan Mensejahtera Rakyat.