Selamat Menyambut Tahun Baru Cina, Lestarikan Putrajaya Dengan Kesejahteraan
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru masyarakat untuk bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan saling memahami dan bertolak ansur untuk permuafakatan bersama.
Katanya, meskipun sambutan Tahun Baru Cina adalah untuk bangsa Cina namun istimewanya masyarakat di Malaysia meraikannya bersama-sama dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Inilah uniknya negara kita dengan kerajaan turut mengiktiraf perayaan dan kebudayaan setiap bangsanya agar dapat diraikan bersama-sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak khususnya warga Putrajaya untuk mengaplikasikan cuti perayaan ini sebagai masa terbaik untuk berkumpul bersama-sama keluarga.
“Kepada mana-mana pihak yang mahu pulang ke kampung halaman atau bercuti ke destinasi pilihan, selamat meandu dan patuhilah undang-undang jalan raya dengan memastikan kediaman yang bakal ditinggalkan berkunci dengan selamat,” katanya.
Jelas beliau, masa cuti tersebut adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk meluangkan masa dan berehat lantas apabila kembali bekerja kelak akan dapat meningkatkan produktiviti untuk kesinambungan kejayaan akan datang.
“Selamat Tahun Baru Cina dan semoga kita semua akan terus dapat hidup dalam suasana aman damai demi 1Malaysia.”