Insentif Untuk Pemaju Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik
PUTRAJAYA – Pemaju akan ditawarkan insentif pengurangan caj pembangunan dan laluan khas (green lane) mempercepatkan kelulusan pembangunan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata kerajaan komited mencari jalan membantu rakyat memiliki rumah sendiri seperti menawarkan insentif sewajarnya kepada pemaju.
“Secara tidak langsung langkah ini juga sebenarnya membantu pemaju dalam memastikan projek mereka lebih berdaya maju,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran dan sesi pengundian Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) SkyAwani Residensi di sini hari ini.
RUMAWIP SkyAwani Residensi yang dibangunkan Kumpulan SkyWorld secara berfasa dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Sentul, Kuala Lumpur itu bakal memberi peluang kepada 1,226 penduduk berpendapatan sederhana memiliki rumah, katanya.
Tengku Adnan berkata sejumlah 2,549 pemohon membuat permohonan melalui portal RUMAWIP dan selepas disaring DBKL hanya 965 pemohon layak ditawarkan pada sesi pengundian hari ini.
Katanya, antara syarat kelayakan yang ditetapkan dalam dasar RUMAWIP ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan dan telah bermastautin atau bekerja di Wilayah Persekutuan tidak kurang dari tiga tahun.
Tengku Adnan berkata rumah berkeluasan 800 kps dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dijual pada harga RM300,000 seunit dengan setiap unit disediakan satu tempat letak kereta.
Dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, projek merangkumi empat buah blok pangsapuri setinggi 29 tingkat di Batu Muda Tambahan, Sentul itu dilengkapi sistem keselamatan 24 jam, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan kolam renang infiniti.
You must be logged in to post a comment.