Berita

Putrajaya Lokasi Kemuncak ASEAN Rides Festival 2015

PUTRAJAYA – Peserta ASEAN Rides Festival telah diraikan pada majlis makan
malam di sini bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis anjuran Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) ini telah berlangsung di perkarangan Istana Kehakiman pada 11 September 2015, Jumaat yang melibatkan 380 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia, Singapura, Brunei, Timor Leste dan Indonesia.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Presiden Gabungan Superbike Malaysia, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif SAM dalam ucapannya meminta rakan penunggang motosikal ASEAN mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi apabila kembali ke negara
masing-masing.

“Saya dimaklumkan sepanjang enam hari festival, peserta bermotosikal dari semua negara terbabit begitu teruja dengan layanan yang diberikan serta kemudahan yang dinikmati di sepanjang perjalanan.

“Saya harap pengalaman yang dikutip ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan lain di negara masing-masing kelak,” katanya.

Ahmad Zahid menarik perhatian bahawa beliau berhasrat mengumpulkan lebih ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi tahun hadapan kerana beliau yakin program permotoran mampu memupuk semangat permuafakatan sekali gus mengetepikan segala perbezaan termasuk politik.

ASEAN Rides Festival 2015 yang bermula mengikut zon di Perlis dan Johor akan menamatkan kembara di Putrajaya untuk acara kemuncak festival itu esok di Dataran Putrajaya yang dijangka akan menghimpunkan 10,000 peserta.

IMG-20150912-WA0025

IMG-20150912-WA0020

IMG-20150912-WA0017

IMG-20150912-WA0022