Berita

Kibarkan Bendera WP Untuk “Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera”

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga tempatan untuk sama-sama mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan menjelangnya Hari Wilayah Persekutuaan.

“Perayaan Hari Wilayah Persekutuan disambut pada tarikh 1 Februari setiap tahun, bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan sambutan ini merupakan gabungan ketiga‐tiga wilayah berkenaan sejak wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan pada 27 Mac 2004.

“Sambutan pada tahun ini merupakan sambutan yang ke-12 dan diadakan serentak di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menekankan soal perpaduan yang perlu sentiasa dijaga dengan baik dan sewajarnya bersyukur kerana kerajaan yang mentadbir negara ini mampu mengekalkan keamanan dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara.

“Kita amat beruntung kerana Malaysia sentiasa dalam keadaan aman. Kita boleh mengadakan majlis sebegini dengan selesa, beriadah dengan tenang tanpa sebarang ketakutan. Kuncinya adalah perpaduan dan kerjasama.”

Jelas beliau, tema Sambutan Hari Wilayah pada tahun ini adalah ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’.

“Pemilihan tema ini bertepatan dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan yang ingin menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang ceria dalam aspek persekitaran yang bersih serta indah, kehidupan yang kondusif dan selamat seiring dengan konsep sense of belonging yang ingin diterapkan kepada warga Wilayah Persekutuan.”

Tambahnya, kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan dalam segala aspek turut menjadi keutamaan untuk memastikan semangat perpaduan, kekitaan, kebersamaan dan perasaan sayang kepada Wilayah Persekutuan terus teguh di kalangan warga Wilayah Persekutuan.

“Harapan saya dengan slogan ini, ia mampu merangsang seluruh warga Wilayah agar seiringan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memajukan serta memakmurkan bumi Wilayah Persekutuan yang tercinta ini sebagai sebuah bandar raya metropolis yang lestari untuk dihuni sepanjang masa.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3 hari ini, 17 Januari 2016.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diadakan setiap tahun adalah bertujuan untuk menyemarakkan semangat atau jati diri, perpaduan dan juga keharmonian dalam Wilayah Persekutuan.

IMG-20160117-WA0011

IMG-20160117-WA0010

IMG-20160117-WA0009

IMG-20160117-WA0006

IMG-20160117-WA0004

IMG-20160117-WA0002

IMG-20160117-WA0000