Ucapan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
UCAPAN YB DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT WILAYAH PERSEKUTUAN
1 FEBRUARI 2016 (ISNIN)
ISTANA NEGARA
KUALA LUMPUR
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera Dan Salam Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera
1. Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Mu’tasimubillahi Muhibbuddin, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah
Mengadap Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah.
Ampun Tuanku
Sembah Patik Mohon Diampun
2. Pada hari yang penuh istiadat dan bersejarah ini, patik bagi pihak seluruh warga Wilayah Persekutuan, dengan rendah hati dan tulus ikhlas, merafakkan sembah menjunjung kasih, di atas titah dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.
3. Patik sekalian mengangkat sembah takzim di atas ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2016 yang berlangsung pada hari ini.
4. Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, ke majlis ini amat besar maknanya buat patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan.
Ampun Tuanku,
5. Gagasan Wilayah Persekutuan genap berusia 42 tahun selepas penubuhannya dibentuk pada 1 Februari 1974. Atas kelangsungan dalam menerajui pembangunan dan kemajuan, tema sambutan kali ini ialah ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’.
6. Pemilihan tema ini bertepatan dengan aspirasi untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang ceria melalui aspek persekitaran yang bersih dan indah, serta kehidupan rakyat kondusif dan selamat. Ini selaras dengan matlamat untuk memastikan warga Wilayah Persekutuan sentiasa menerapkan kesejahteraan atas semangat perpaduan, dan rasa cinta bagi terus memperteguh kesatuan dikalangan warganya.
Ampun Tuanku,
7. Wilayah Persekutuan adalah teraju kepada kemajuan yang menjadi landskap penting untuk Malaysia maka tentunya keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan menjadi aspirasi utama keseluruhan rakyat di dalamnya. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab patik dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memastikan tiada gejala-gejala negatif dan kepincangan yang boleh mencemarkan nama baik Wilayah Persekutuan dan seterusnya negara berlaku. Sebarang bentuk ancaman dan tohmahan palsu terhadap Wilayah Persekutuan sentiasa dipantau lantas kebenaran diserlahkan agar Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera terus menjadi realiti.
8. Dengan amanah yang dipikul, patik akan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap perancangan pembangunan dan kemajuan akan diteruskan untuk kelangsungan kecemerlangan demi masa hadapan rakyat. Patik juga sedar bahawa negara sedang berada dalam kedaan ekonomi yang sangat mencabar selain kos sara hidup yang turut meningkat. Sehubungan itu, langkah berjimat dilaksana termasuklah mengekalkan inisiatif penjimatan khususnya dalam penganjuran majlis dan program-program tertentu.
9. Namun demikian, pelbagai program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera peringkat Wilayah Persekutuan telah dirangka untuk memastikan penyertaan dan kepentingan Bumiputera dalam bidang ekonomi negara adalah seimbang, berdaya saing dan mampan. Ini termasuklah menggerakkan Program Peningkatan Fasiliti Perniagaan, Program Inisiatif Pengembangan Perniagaan, Program Kursus Keusahawanan, Program 1 Parlimen 1 Kemahiran (1P1K) dan Program Transformasi dengan usahasama agensi-agensi.
10. Melalui program-program ini, golongan kurang bernasib baik seperti mereka yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya, dan yang hidup dalam kesusahan, diberi fokus dengan meningkatkan daya saing, kapasiti dan kapabiliti mereka dalam pasaran.
Ampun Tuanku,
11. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukan sekadar Ibu Negara Malaysia tetapi juga diiktiraf sebagai bandaraya bertaraf dunia yang kini menjadi pusat tumpuan pelancong dengan kegiatan sosio-ekonomi yang pelbagai dan juga tarikan kepada para pelabur asing, manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan arkitektur bangunan yang moden dan tersergam indah, serta Wilayah Persekutuan Labuan menjadi hab minyak dan gas di samping pusat kewangan antarabangsa.
12. Namun demikian, patik sedar bahawa kepesatan pembangunan di Ibu Kota perlu seimbang dengan perkembangan kehidupan masyarakat. Justeru, golongan gelandangan merupakan antara kelompok masyarakat yang diambil berat dan ditangani oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
13. Sebagai langkah penyelesaian awal, sehingga Januari 2016 Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama DBKL telah membangunkan 2 pusat gelandangan daripada 3 lokasi yang dirancang. Berasaskan tanggungjawab sosial bagi memastikan persekitaran Ibu Kota bersih dan terurus, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dibangunkan.
14. Sehubungan itu, aktiviti pengagihan dan pemberian makanan dijalankan pada setiap malam yang dikendalikan oleh 4 buah NGO iaitu Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen, Kaseh4U dan Need To Feed The Need (NFN) mengikut giliran yang diputuskan oleh sesama mereka.
15. Dalam masa yang sama, semua projek pembangunan khususnya yang bersifat ekonomi kepentingan rakyat berlangsung lancar termasuklah NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley membabitkan River of Life, Pedestrian Walkway, Heritage Trails, Greener Kuala Lumpur, MyRapid Transit (MRT), Sewerage Non-River, dan Solid Waste Management. Projek terbabit adalah antara pemacu pertumbuhan ekonomi dalam mendukung kemajuan negara berterusan.
16. Seterusnya, keprihatinan kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Wilayah Persekutuan terhadap masalah perumahan di bandar-bandar besar menjadi perhatian. Dalam usaha untuk menanganinya, Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) diwujudkan. Sejumlah 80,000 unit rumah awam disasar untuk dibangunkan di seluruh Wilayah Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang, iaitu 50,000 unit di Kuala Lumpur, 20,000 unit di Putrajaya dan 10,000 unit di Wilayah Persekutuan Labuan. Tahun 2015 telah menyaksikan banyak projek RUMAWIP dan PPA1M yang telah dilancarkan di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur. Sebanyak 8 projek telah dilancarkan melibatkan sejumlah 6,871 unit sepanjang 2015 yang secara keseluruhannya sejak tahun 2013 hinga 2015 mencatatkan sebanyak 35,201unit atau 44% daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit telah dilaksana.
Ampun Tuanku,
17. Dalam usaha memastikan keselesaan rakyat, pelbagai
kerja naik taraf dan pembangunan kemudahan awam dipergiat. Namun patik sedar, kemajuan bukan hanya diukur dari pembangunannya tetapi juga ketinggian nilai dan peradaban rakyat diambil kira. Sebagai sebuah bandaraya, masalah moral dan kepincangan sosial adalah perkara serius yang perlu dibendung. Selaras dengan itu, patik dan kementerian patik mengambil berat hal terbabit dengan meneruskan Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) sebagai alternatif untuk membendung gelaja negatif dan penyakit sosial. Operasi ini membabitkan perrkongsian strategik antara 21 agensi/jabatan Kerajaan dengan 9 NGO lain. Selain itu pendekatan melalui pendidikan, kesedaran moral dan penghayatan berteraskan agama khususnya untuk generasi muda dilaksana termasuklah penguatkuasaan di semua peringkat.
18. Sesungguhnya, patik selaku pentadbir di Wilayah
Persekutuan akan mendokong amanah untuk memastikan kepentingan rakyat berada ditangga teratas dengan kelangsungan hidup berteraskan Wilayah maju dan sejahtera. Perpaduan masyarakat turut menjadi keutamaan atas kesedaran bahawa negara ini mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa, anutan agama berbeza dan budaya yang berlainan. Patik percaya, kejayaan dan kelestarian Wilayah Persekutuan hari ini adalah diangkat hasil daripada kesepaduan masyarakat untuk bersama-sama para pemimpin.
Ampun Tuanku,
Sembah Patik Mohon Diampun,
19. Bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran,
Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kali kelapan ini, seramai 280 orang akan menerima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan. Ini adalah pengurniaan yang diberi berdasarkan kepada khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan selama ini kepada Wilayah Persekutuan. Semoga dengan pengurniaan ini dapat menyuntik semangat dan komitmen yang tinggi kepada penerima yang menjadikan Wilayah Persekutuan terus maju, makmur dengan rakyatnya yang sejahtera.
20. Sehubungan itu, Patik bagi pihak seluruh warga Kementerian Wilayah Persekutuan, anggota pentadbiran, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan seluruh rakyat jelata di bawah jajahan takluk Tuanku dengan penuh hormat dan takzimnya menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.
21. Patik sekalian memanjatkan doa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melanjutkan usia dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua.
Sekian.
Ampun Tuanku beribu ampun, Sembah patik harap diampun.