Berita

7,832 Pelajar Cipta Rekod Sempena ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’

PUTRAJAYA – Pertandingan Melukis dan Mewarna Wilayah Persekutuan 2016 yang menarik penyertaan 7,832 pelajar dari sekolah menengah dan rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan paling ramai.

Pengarah Operasi MOBR Christopher Wong menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Pengarah Program, Datuk Mohd Rahimi Rejabdi pada majlis penyampaian hadiah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Hadir menyaksikan majlis penyampaian hadiah itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Anggota Parlimen Putrajaya.

Pertandingan melibatkan dua kategori iaitu melukis dan mewarna bagi pelajar berumur lapan hingga 17 tahun yang dikehendaki menghasilkan karya bebas bertemakan Hari Wilayah Persekutuan dan tempat menarik sekitar Wilayah Persekutuan.

Bagi kategori kedua adalah mewarna bendera Wilayah Persekutuan melibatkan kanak-kanak tujuh tahun dan ke bawah.

Dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata pertandingan melukis dan mewarna
Wilayah Persekutuan diadakan untuk mencungkil bakat seni di kalangan pelajar, menaikkan taraf seni di sekolah, mewujudkan budaya pertandingan yang sihat dan menjalin silaturahim antara pelajar, guru serta urus setia majlis.

Beliau berkata melukis dan mewarna adalah satu daripada aktiviti berfaedah untuk meningkatkan daya kreativiti dan meningkatkan skil berkomunikasi pelajar.

“Ini kerana apabila melukis atau mewarna, mereka akan berkomunikasi dengan rakan-rakan sekeliling bagi membantunya melaksanakan aktiviti tersebut.

Sekaligus, ia merangsang anak-anak untuk berkomunikasi dan mengeratkan silaturahim,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pertandingan berkenaan dapat mendidik pelajar untuk mengenali lebih dekat Wilayah Persekutuan di samping menyemai nilai dan sikap saling menghormati, bertoleransi serta bantu membantu di kalangan rakyat pelbagai kaum, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pertandingan ini merupakan satu daripada program bagi memeriahkan dan menjayakan sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Feb.

IMG-20160220-WA0025

IMG-20160220-WA0019

IMG-20160220-WA0010

IMG-20160220-WA0023

IMG-20160220-WA0020

IMG-20160220-WA0017