Berita

Konvoi Berbasikal 1Wilayah Diktiraf Malaysia Book of Records

PUTRAJAYA – Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan melakar kejayaan tersendiri dengan penyertaan sebanyak 16,647 individu, dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MOBR).

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Anggota Parlimen Putrajaya menerima sijil pengiktirafan Acara Kayuhan Basikal Teramai yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Datuk Michael Teo.
   
Perasmian program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) serta Persatuan Berbasikal Putrajaya itu disempurnakan Tengku Adnan.
   
Program berkenaan terbuka kepada semua secara percuma dengan menawarkan dua kategori iaitu laluan 10 kilometer (km) dan 40km bermula di Dataran Putrajaya, Presint 3 dan berakhir di tempat yang sama.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, tujuan program diadakan
adalah bagi memupuk semangat cintakan Wilayah Persekutuan serta mengamalkan gaya hidup sihat serta cergas.

“Ia juga mewujudkan satu suasana yang harmoni dan bersatu bersesuaian dengan
slogan Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera. Kita amat untung kerana Malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan mengadakan beriadah dengan tenang tanpa sebarang ketakutan,” katanya.

Tambahnya, soal perpaduan ini perlu dijaga dengan baik serta bersyukur kerana kerajaan yang mentadbir negara ini mampu mengekalkan keamanan dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara.

“Adalah diharap program berkenaan dapat membentuk masyarakat yang cergas, sihat fizikal dan cerdas minda, selain menyemai sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Selain program Konvoi Berbasikal, Karnival Mini Sukan turut diadakan di kawasan sekitar, antaranya kabbadi, boleh keranjang, street soccer, bola jaring dan bola tampar.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Mohd Ikshan dan Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail.

IMG-20160228-WA0003

IMG-20160228-WA0005

IMG-20160228-WA0030

IMG-20160228-WA0035

IMG-20160228-WA0034

IMG-20160228-WA0032