Berita

Penutup Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan 2016

PUTRAJAYA – Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraannya pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 yang berakhir di sini malam ini. Nor Azrah Ayub dari Johor muncul johan qariah.

Johan keseluruhan dimenangi oleh Johor dengan markah 84.50 peratus. Markah ini berdasarkan jumlah purata tertinggi peserta qari dan qariah dari sesebuah negeri peserta.

Johan qari dan qariah seterusnya akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 2 hingga 7 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM15,000, piala iringan, sebuah kereta Proton Exora dan pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.Hadiah disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Seramai 14 qari dan 14 qariah mewakili negeri-negeri serta johan bertahan qari dan qariah edisi lalu mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya.