Berita

5,000 Unit Kit Denggi Diedarkan Bendung Wabak Merebak di Putrajaya

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memperuntukkan sebanyak 5,000 daripada sejumlah 30,000 unit Kit Rumah Perlindungan Lengkap Denggi untuk diedarkan Putrajaya, mulai hari ini sebagai langkah serius membendung wabak denggi.

Kit berkenaan akan diagihkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk masing-masing dan beberapa agensi kerajaan dalam memperkasakan Projek Komuniti Bebas Denggi 2016.

“Denggi merupakan masalah yang ketara dan jika kita tidak membendungnya, takut ia akan merebak dengan lebih parah.

“Saya harap bila kita dah agihkan kit ini, jangan simpan sebagai perhiasan, gunakannya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Wilayah Persekutuan Bebas Denggi.

Tengku Adnan berkata, kit yang mengandungi biolarvicide Mousticide yang dapat membunuh larva nyamuk, losyen penghalang nyamuk dan perangkap Ovi Larva Aedes itu, direka khas untuk membunuh sistem pembiakan nyamuk.

Beliau berkata menurut statistik, dari Januari sehingga 2 April, jumlah kes denggi di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 22.5 peratus (2,347 kes) jika dibandingkan tempoh sama tahun lepas.

Putrajaya turut mengalami peningkatan kes denggi sebanyak 65.5 peratus (131 kes) dari Januari sehingga 2 April.

Bagi kes kematian pula, Kuala Lumpur mencatat tiga kes manakala Putrajaya hanya satu kes dalam tempoh berkenaan.

Baki sejumlah 25,000 unit akan diagih kepada penduduk Kuala Lumpur.

12985487_986933854676230_6460105477781623028_n

12985575_986933878009561_5655556503963832442_n

12994403_986933671342915_4301555139896397066_n