Berita

Sambutan Tahlil Hari UMNO Dipinda ke 12 Mei

PUTRAJAYA, 9 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan majlis bacaan Yassin dan tahlil yang dijadualkan pada 11 Mei dipinda ke tarikh berikutnya, 12 Mei, Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, tarikh tersebut dipinda berikutan UMNO menghormati Majlis Makan Raja-Raja di Istana Negara yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

“Sambutan secara sederhana dibuat untuk mengenang jasa para pemimpin-pemimpin kita yang telah pergi dan juga kepada pemimpin kita yang telah terlibat dalam nahas helikopter baru-baru ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini.

Jelas beliau, ekoran insiden nahas helikopter yang berlaku di Sarawak, UMNO dengan persetujuan Presiden parti telah memutuskan supaya segala acara untuk sambutan besar-besaran ulang tahun parti dibatalkan.

Perancangan sebelum ini melibatkan larian UMNO di seluruh negara dan perhimpunan yang akan melibatkan lebih 300 ribu orang ahli UMNO pada 14 Mei di Dataran Merdeka termasuklah Karnival Sukan yang sedang berlangsung dengan peringkat akhirnya dijadualkan di Kuala Lumpur turut dibatalkan.

“Ini kerana kita rasa sedih terhadap apa yang berlaku terhadap kedua-dua pemimpin kita yang melibatkan Ketua Bahagian UMNO dan juga Ketua Wanita UMNO Bahagian yang telah terlibat dalam tragedi yang sangat memilukan kita semua.

“UMNO buat keputusan untuk adakan sambutan Hari UMNO secara sederhana sahaja. Kita faham bahawa kita juga merasai kehilangan kawan-kawan kita yang ke Sarawak untuk membantu parti tetapi akhirnya terlibat dalam tragedi ini,” ujarnya lagi.