Berita

UMNO Rakam Takziah Nahas Helikopter di Sarawak

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta seluruh warga UMNO untuk bersama-sama berdoa agar segala urusan berkaitan operasi nahas membabitkan helikopter di Sarawak berlangsung dengan lancar tanpa ada sebarang kesulitan.

“Sememangnya kita semua amat terkesan dengan tragedi ini dan saya sendiri amat terkejut dengan nahas yang berlaku apatah lagi ia membabitkan kepimpinan UMNO yang turut sama membantu Barisan Nasional (BN) dalam kempen di Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama dalam solat hajat memohon dipermudahkan operasi nahas helikopter yang dilakukan sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat yang berlangsung di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Setiausaha Agung BN mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi terbabit.

“Saya bagi pihak Ibu Pejabat UMNO dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bersama dengan seluruh ahli parti mengucapkan salam takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara mereka yang terlibat dalam nahas tersebut.

“Saya turut bersedih dan terasa kehilangan yang amat besar atas apa yang berlaku dan saya berharap ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat akan tabah dalam berdepan dugaan yang sangat besar ini,” ujarnya.

IMG-20160506-WA0048

IMG-20160506-WA0049

IMG-20160506-WA0050

IMG-20160506-WA0051

IMG-20160506-WA0052