Berita

Tumpu Persidangan Untuk Perpaduan UMNO, Abai Tingkah Puak Tak Bertanggungjawab – SUA

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO diminta untuk menumpukan kepada perpaduan parti tanpa mengambil kira hal-hal yang dibangkitkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan isu-isu semasa, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Semua bahagian apabila memulakan mesyuarat ini pertamanya perlu untuk menumpukan kepada perpaduan parti dan keduanya terhadap pilihan raya,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Mesyuarat UMNO peringkat Bahagian akan bermula pada 1 Ogos hingga 15 September yang akan melibatkan 191 bahagian seluruh negara.

“Saya juga harap bahawa isu-isu yang telah dibangkitkan oleh puak-puak yang tidak bertanggungjawab tidak perlu dibincang atau diulas kerana penerangan akan diberikan oleh ibu pejabat kepada tiap-tiap bahagian berkaitannya. Jangan sesekali kita boleh dipergunakan oleh orang-orang yang ingin mengambil kesempatan,” ujarnya.

Beliau berharap agar mesyuarat terbabit akan dilaksanakan disemua bahagian mengikut ketetapan dalam Perlembagaan UMNO.

“Yang penting kita mesti bersatu, kita mesti bersetia dan berkhidmatlah kepada masyarakat serta laksanakanlah tanggungjawab kita kepada ahli UMNO kerana di luar sana banyak rakyat yang masih perlu kepada bantuan dan perkhidmatan kita. Jadi berkhidmatlah dengan baik.

“Saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua bahagian. Marilah kita sama-sama memperkuatkan parti kita agar kita dapat meraih kemenangan untuk Pilihan Raya Umum ke-14.” – MediaUMNO