Berita

UMNO Dengar Suara Akar Umbi, Bantah Persempadanan Semula, Tolak Spekulasi & Provokasi

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menolak spekulasi dan provokasi pihak tertentu yang mendakwa usul persempadanan semula kawasan pilihan raya sebagai taktik politik untuk memenangkan hanya sesebuah parti sahaja pada pilihan raya akan datang.

Beliau memberitahu bahawa UMNO juga menyatakan bantahan terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

“UMNO telah dan akan terus mendapat maklum balas dari Bahagian-bahagian dan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

“Sehubungan itu, UMNO juga ingin menyatakan bantahan terhadap hal tersebut dan berharap agar pandangan dari semua pihak diambil kira oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ujar beliau, UMNO akan membawa usul persempadanan semula kawasan pilihan raya ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan parti dan juga mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang akan diadakan hujung bulan ini.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberikan masa selama sebulan sehingga 14 Okt untuk mengemukakan bantahan masing-masing.