Keluhan Belia Di Putrajaya Diberi Perhatian – Tg Adnan
PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) akan mempertimbangkan keluhan generasi muda di sini yang sukar mengadakan aktiviti sukan terutama futsal akibat kekangan kewangan.
“Kita akan bincang dengan PPj dan jika perlu akan biayai secara percuma mereka bermain futsal di gelanggang di Presint 18.
“Jika perlu, dewan-dewan yang dibangunkan kerajaan di Kuala Lumpur dan Labuan juga akan kita benarkan diguna secara percuma kerana ini adalah untuk rakyat,” kata Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas merasmikan Kejohanan Ping Pong Putrajaya.
Beliau berkata acara sukan seperti futsal, badminton dan ping pong sangat digalakkan bagi mengeratkan hubungan masyarakat dalam komuniti.
Sementara itu katanya Kejohanan Ping Pong Putrajaya tersebut yang disertai 1,035 peserta dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan acara ping pong paling ramai.
Acara dua hari itu bermula semalam.
You must be logged in to post a comment.