Berita

Inisiatif Sejahterakan Warga Wilayah Persekutuan – Tengku Adnan

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban warga Wilayah Persekutuan, kata Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata tumpuan diberi bagi penganjuran program-program “touch point” berbentuk kemasyarakatan dan komuniti akrab.

“Antara program dengan penyerapan “feel good factor” yang dilaksanakan antaranya ialah program Kenduri 1Wilayah di seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 berkonsepkan turun padang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diperkenan mengadap dan membaca laporan mengenai perkembangan di Wilayah Persekutuan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 di Istana Negara, di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata fokus turut diberi dalam isu perumahan dengan mewujudkan inisiatif Perumahan Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bagi memastikan warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah sendiri.

“Wilayah Persekutuan beriltizam untuk terus menjadi peneraju demi menjayakan pelbagai Projek dan Program Aku Janji Rakyat termasuk inisiatif memastikan warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah sendiri melalui RUMAWIP,” katanya.

Bagi mengurangkan kemiskinan bandar, Tengku Adnan berkata kementerian telah mewujudkan kad ceria Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan diskaun untuk barangan tertentu.

Di samping itu, Tengku Adnan berkata segala cukai berkaitan penyelenggaraan Kementerian Wilayah Persekutuan juga tidak dinaikkan untuk tiga tahun selain pemberian subsidi melibatkan kos pengangkutan serta kos penyelenggaraan perumahan awam dan rakyat.

Katanya, satu inisiatif baharu turut dilaksanakan iaitu perkhidmatan bas sekolah secara percuma kepada anak-anak penghuni Perumahan Rakyat dan Awam di sekitar ibu kota.

Menyentuh perkembangan di Wilayah Persekutuan Labuan, Tengku Adnan berkata satu Blueprint Pembangunan turut disediakan dengan tumpuan untuk mentransformasikan Labuan sebagai pusat pelancongan dan perniagaan yang berdaya saing.

Pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan anugerah kepada 375 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sebagai penghargaan kepada mereka yang menabur jasa dan khidmat cemerlang kepada Wilayah Persekutuan.