Program V4Putrajaya Pupuk Semangat Sukarelawan, Cintakan Kebersihan
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini melancarkan program Sukarelawan Untuk Putrajaya atau V4Putrajaya, satu inisiatif menyemai semangat kesukarelawan di kalangan komuniti dan belia setempat.
Beliau berkata antara lain, program yang disertai 1,700 peserta itu juga bertujuan memperbanyakkan aktiviti dan penyertaan sukarelawan dalam menjaga
kebersihan serta memelihara persekitaran, selain memupuk semangat kerja berpasukan di kalangan mereka yang berlainan latar belakang.
Katanya melalui V4Putrajaya, beliau yakin semangat cintakan kebersihan, kerja berpasukan dan menjalin silaturahim yang dilihat sedikit pudar dapat dikukuhkan semula terutamanya di kalangan generasi muda.
“Program ini akan pupuk semangat agar rakyat dapat bersama-sama kerajaan daripada hanya menyalahkan kerajaan, kementerian atau agensi di bawahnya atas apa yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing, khususnya dalam aspek penjagaan kebersihan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini hari ini.
Tengku Adnan, yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata V4Putrajaya memberi peluang kepada pesertanya untuk melakukan kerja-kerja pengindahan kawasan kediaman mengikut zon yang ditetapkan dengan diterajui Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya.
Untuk program hari ini, sukarelawan terbabit akan melakukan aktiviti mengecat, menaik taraf landskap serta gotong-royong kebersihan melibatkan kawasan Presint 8 hingga Presint 10.
You must be logged in to post a comment.