Berita

Teruskan Kerja Keras, Jangan Rasa Selesa Untuk Menang PRU 14 – Tengku Adnan

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi peringatan kepada ahli dan jentera UMNO agar terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang, biarpun ada pihak yang meramalkan UMNO dan BN akan terus kekal memerintah pada PRU ke 14 ini.

Menurut beliau, UMNO dan BN tidak boleh terlalu percaya atau bergantung kepada kajian-kajian seumpama itu dan perlu terus melipat gandakan usaha bagi menghadapi PRU ke 14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Bagaimanapun saya yakin bahawa rakyat dapat menilai prestasi kerajaan yang sedia ada hari ini.

“Kerajaan BN hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa mendahulukan kepentingan serta kebajikan rakyat”, katanya kepada UMNO-Online.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri tambahnya banyak perubahan-perubahan yang telah dilakukan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Dan banyak pembetulan-pembetulan dalam sistem pentadbiran kerajaan juga telah dilaksanakan.

“Jadi saya berkeyakinan bahawa rakyat Malaysia sedar bahawa tiada sebuah parti seperti BN yang akan sentiasa memastikan masa depan mereka akan terus maju ke hadapan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu kajian yang dilakukan oleh sebuah badan pro pembangkang, Invoke Malaysia yang meramalkan BN akan terus memegang kuasa pemerintahan pada PRU ke 14 akan datang.

Sementara itu, kata Tengku Adnan lagi, bukannya mudah untuk mentadbir sebuah negara seperti Malaysia bukanlah mudah kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, berbilang agama, adat dan budaya.

“Dalam keadaan rakyat yang hidup dalam pelbagai perbezaan di negara ini BN telah membuktikan bahawa kita mampu untuk menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan membuat segala keputusan secara konsensus dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Di atas formula BN itulah maka kita boleh lihat kesatuan dan perpaduan yang menjadi amalan rakyat di negara ini mengatasi segala perbezaan menyebabkan kita boleh hidup aman dan makmur serta menjadi sebuah negara yang maju.

“Justeru itu saya menyeru semua ahli dan jentera UMBO serta BN agar terus berkhidmat dengan mendekati rakyat, agar mereka tahu dan sedar bahawa tidak ada parti berbilang kaum dan agama seperti BN yang mempu mentadbir negara dengan baik untuk memastikan masa depan rakyat dan negara terus cemerlang di masa akan datang,” ujarnya.-MediaUMNO