Berita

UMNO Sentiasa Komited Dengar Nadi Rakyat Untuk Beri Pembangunan Terbaik

PUTRAJAYA, 10 Mei – UMNO sentiasa komited untuk mendengar denyutan nadi rakyat dalam usaha membela nasib serta memberi pembangunan terbaik yang diperlukan oleh rakyat Malaysia, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata UMNO merupakan sebuah parti yang rasional dan bersama rakyat sejajar matlamat parti itu yang mahu meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat.

Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak telah dan sedang melakukan banyak perubahan untuk pembangunan masyarakat sehingga membuat ramai pihak cemburu dengan apa yang telah dilaksanakan untuk kemakmuran rakyat.

“UMNO Dulu, Kini dan Selamanya. Kita ikut keperluan semasa. UMNO juga telah memperbetulkan kesilapan yang dilakukan dahulu kerana kita mahu rakyat mendapat keselesaan dan kelestarian dalam kehidupan. UMNO sedia berdiri sebagai pembela dan berjuang untuk kehidupan rakyat yang lebih baik.

“Parti UMNO merupakan parti bersama rakyat dan parti kita akan terus membantu rakyat, menjaga keselamatan negara serta menyediakan segala peluang dan ruang untuk masyarakat meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis Larian Bendera UMNO sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 peringkat Putrajaya di sini hari ini.

Justeru, Tengku Adnan menegaskan: “Saya tidak bimbang sekiranya ada sesetengah pihak yang keluar daripada parti UMNO kerana mereka ini terdiri daripada golongan kecewa. Takkan kita boleh percaya pada orang kecewa dan takkan orang kecewa boleh tadbir negara. Tidak boleh. Mereka mesti ada asas dan tujuan”.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional merupakan parti yang mempunyai landasan serta matlamat yang perlu dicapai dan perkara ini diketengahkan dalam Transformasi Nasional 2050 bagi melaksanakan kehendak dan keperluan rakyat.

“Kita ini parti rasional yang merupakan barisan pemimpin yang ‘walk the talk’. Kita tidak hanya cakap-cakap kosong, fitnah dan bohong macam pembangkang,” katanya.

Pada majlis itu, Tengku Adnan menerima kehadiran kira-kira 200 anggota UMNO Bahagian Puchong yang diketuai oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Dr Mohd Satim Diman yang menyertai Larian Bendera UMNO bermula dari kawasan UMNO Bahagian Serdang. Bendera itu kemudiannya diserahkan kepada Tengku Adnan yang turut menyertai larian itu bersama 150 peserta dari UMNO Bahagian Putrajaya.

Larian tersebut seterusnya akan diserahkan kepada UMNO Bahagian Salak Jaya, Seputeh, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Nordin Hasan, Timbalan Ketua UMNO Putrajaya Datuk Seri Khairuddin Samad dan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim.
18341637_1518352264881944_6532923014415187782_n

18341827_1518352258215278_5246254550999057709_n

18342160_1518352261548611_2797265062735433468_n

18425224_1518352288215275_5407302273351290986_n