Berita

Dialog TN50 Untuk Putrajaya Masa Depan Negaraku

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar pintar, lestari dan mesra teknologi menjelang 2050.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sasaran itu selaras dengan aspirasi golongan muda, namun menuntut perubahan minda di kalangan penghuninya untuk menjadi realiti.

“Sebagai pusat pentadbiran kerajaan, pembangunan Putrajaya dirangka sebagai bandaraya pintar yang melestarikan setiap fasiliti untuk kelestarian penduduk yang majoritinya penjawat awam.

“Untuk itu, kemajuan yang diimpikan perlu disertai perubahan minda dalam pelbagai aspek selain usaha berterusan kerajaan bertunjangkan aspirasi yang digarap dari idea penghuninya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap aspirasi beberapa peserta pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Bertemakan “Putrajaya Masa Depan Negaraku” sesi hampir dua jam itu turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamad Fadzil Che Din selaku panel kedua.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya juga senada dengan saranan peserta bahawa untuk menjadi bandar terbaik, ”bandar dalam taman” itu perlu dihuni oleh masyarakat yang selalu ceria, bertimbang rasa dan mengutamakan amalan hidup sihat.

Beliau berkata cadangan agar program berorientasikan kesihatan diperbanyakkan juga perlu dipertimbangkan kerana sebagai bandar yang dihuni oleh majoriti orang muda amalan hidup sihat perlu seiring dengan kemajuan yang diinginkan.

Tengku Adnan berkata dalam aspek kesihatan, kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan-kemudahan tertentu bagi memenuhi keperluan rakyat namun perubahan itu perlu bermula dari individu itu sendiri.

“Saya juga tertarik dengan cadangan untuk mewujudkan sebuah stadium dengan fasaliti bertaraf dunia di Putrajaya dan ia selaras dengan komposisi penduduknya yang dihuni majoriti orang muda, ” katanya.

IMG-20170524-WA0039

IMG-20170524-WA0037