Berita

Tengku Adnan Bidas Penularan Cerita Tidak Benar Keluarga Daif di Putrajaya Tak Dibantu

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan segelintir pihak khususnya pembangkang yang gemar menggembar-gemburkan cerita-cerita tidak benar berkaitan penduduk setempat dengan harapan untuk mengelirukan pemikiran masyarakat dan mewujudkan persesi negatif terhadap kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa kerajaan dibawah teraju Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha dan memastikan setiap individu mendapat pembelaan termasuklah mereka yang uzur, dilanda kesusahan dan mengalami pelbagai kesulitan.

“Baru-baru ini tular dakwaan saya mengabaikan penduduk di kawasan saya sendiri yang mana mereka daif dengan anaknya menghidap penyakit kronik, sedang menerima rawatan selain memiliki anak-anak yang ramai dan masih bersekolah walhal realiti yang sebenar tidak diceritakan kepada orang ramai,” katanya.

Jelas beliau, sebagai pemimpin beliau amat akrab dengan para penduduk setempat dan mengetahui berkaitan keluarga mangsa yang ditularkan dalam media sosial walhal cerita yang sebenar tidak didedahkan.

“Keluarga ini sentiada ada dalam perhatian saya dengan tindakan dan bantuan yang berterusan diberikan bukan sahaja bagi meringankan beban yang mereka tanggung tetapi juga sokongan moral daripada kerajaan melalui pelbagai saluran yang ada.

“Keluarga ini juga telah pun didaftarkan dalam golongan asnaf dan Kebajikan Putrajaya Prihatin malah mereka selalu datang ke klinik Putrajaya bagi mendapatkan bantuan dan sokongan berdasarkan keperluan semasa untuk anak-anak mereka sama ada yang masih bersekolah atau yang sedang mendapat rawatan.

“Untuk sesi persekolahan 2018 pun kita ada menyalurkan bantuan persekolahan termasuklah wang tunai RM1 ribu agar dapat meringkan beban mereka dalam melakukan persediaan.”

Selaras dengan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai ‘ketua kampung’ di Putrajaya membidas mereka yang sengaja cuba menjadikan masalah keluarga terbabit sebagai isu setempat bagi mewujudkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Sudah-sudahlah buat fitnah, saya tahu dan kenal masyarakat di tempat saya malahan saya mengenali keluarga terbabit sudah lama, sejak anak mereka lapan orang hinggalah hari ini 11 orang yang mana keakraban masyarakat Putrajaya adalah ibarat satu keluarga yang besar.

“Dakwaan kononnya saya tak pernah hulurkan bantuan kepada keluarga terbabit adalah satu perkara yang tidak benar sama sekali malahan cerita sedih keluarga terbabit cuba diangkat untuk dijadikan bahan politik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sedangkan hakikatnya kerajaan sentiasa melakukan pembelaan terhadap mana-mana individu, termasuklah keluarga terbabit.”

Namun begitu, jelasnya, beliau tidak hairan jika selepas ini akan ada lagi pelbagai fitnah dan cerita-cerita palsu yang timbul khususnya di Putrajaya bagi memburukkan pentadbiran BN dengan pelbagai manipulasi berkaitan penduduk tempatan selain pengedaran pelbagai risalah-risalah pembangkang yang telah mula ditaburkan.

“Saya berharap rakyat akan sedar dengan tingkah pembangkang yang lebih gemar mencari cerita buruk daripada memaparkan kebenaran lantas tidak terpengaruih dengan usaha mereka untuk cuba mengelirukan rakyat,” tegasnya lagi .

thumbnail (1)

thumbnail (2)

thumbnail (3)

thumbnail (4)