Berita

BN Tidak Hadapi Masalah Tentukan Pembahagian Kerusi

PUTRAJAYA – Parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah dalam menentukan pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata ini kerana BN mengamalkan kaedah perbincangan dan persetujuan bersama di antara parti komponen dalam menentukan calon wakil rakyat yang akan bertanding pada PRU nanti.

“Tiada masalah di antara parti komponen kerana kita merupakan gabungan yang akur pada konsensus. Apa yang kami buat adalah berdasarkan kepada konsensus, semua mesti bersetuju kerana itu adalah konsep kita,” katanya kepada media pada Majlis Penutup Karnival Kad Ceria di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam agar parti komponen BN mengelak perbalahan dalam menentukan calon khususnya di kerusi-kerusi tradisi.

“Jangan kerana TPM cakap macam tu, anda membuat persepsi bahawa ada masalah di antara (parti) komponen. Tidak ada masalah malah kita berbincang dengan mereka, kalau kerusi itu parti kamu boleh menang kamu ambil, kalau tak boleh bagi balik kepada sesiapa (parti komponen lain) yang boleh menang,” katanya selepas melancarkan penggunaan aplikasi Ceria 1WP pada Majlis Penutup Karnival Kad Ceria.