Berita

Tindakan Disiplin Jika Anggota, Pemimpin BN Tanding Calon Bebas

KUALA LUMPUR — Pemimpin atau anggota Barisan Nasional (BN) yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan dikenakan tindakan disiplin, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata pihaknya kini memantau perkembangan berkenaan.

“Jika ada anggota parti yang bertanding atas tiket Bebas ataupun mewakili parti lain, kami akan mengambil tindakan,” katanya ketika mengulas spekulasi berkenaan kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang UPSR, PT3 dan SPM 2017 Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini, hari ini.

Ditanya berhubung tindakan Tan Sri M.Kayveas melepaskan jawatan presiden MyPPP, Tengku Adnan berkata ia terpulang kepada Kayveas, namun pihaknya telah meminta semua parti komponen menyelesaikan setiap masalah dalaman mereka bagi menghadapi PRU14.

“Saya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional sebelum ini telah mengutus surat kepada semua komponen parti untuk selesaikan masalah dalaman mereka.

“Apabila mendapati ada masalah dalaman, kami perlu menasihati myPPP supaya mengambil tindakan disiplin terhadap anggota mereka yang melanggar perlembagaan parti,” katanya.