Berita

Masjid Ketiga Di Putrajaya Siap Empat Tahun Lagi

PUTRAJAYA – Selepas Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebuah lagi masjid bakal didirikan di Putrajaya yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Surau Ar-Rahman di Presint 16 di sini akan dinaik taraf menjadi Kompleks Masjid Ar-Rahman dan dijangka mampu menampung seramai 3,000 jemaah.

Tengku Adnan yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata sekolah rendah agama (SRA) juga akan dibangunkan di sebelah masjid itu, yang melibatkan keseluruhan tapak seluas 16,187 meter persegi.

SRA itu bakal mempunyai 24 kelas, bilik guru, pejabat, kantin dan ruang sokongan dan dijangka boleh menampung 840 murid dari tahun satu hingga enam.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa melihat apa yang diperlukan oleh warga di sini yang meminta kompleks SRA ini dibina di sini beberapa tahun lepas dan surau di sini akan dinaik taraf menjadi masjid,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah kompleks masjid dan SRA itu di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata pembinaan masjid dan SRA itu melibatkan kos RM25 juta yang dibiayai oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Bahagian timur Putrajaya dari Presint 14 hingga 18 mempunyai 9,176 unit rumah dengan anggaran 45,880 penduduk.

“Pengajian Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dijalankan di Surau Ar-Rahman yang mempunyai 280 pelajar dengan menggunakan kawasan yang terhad,” katanya.

Tengku Adnan berkata sehingga kini terdapat dua SRA yang beroperasi di Putrajaya iaitu di Presint 9 dan 18 manakala sebuah lagi SRA di Presint 11 dijangka akan beroperasi Jun ini.

Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama tiga penggal beturut-turut berkata projek itu dilaksanakan atas permintaan penduduk setempat.

IMG-20180506-WA0034

IMG-20180506-WA0033

IMG-20180506-WA0028