Aktiviti & KomunitiBerita

Manfaatkan Mesyuarat Cawangan Untuk Mantapkan UMNO… Selamat Bersidang

PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak ahli-ahli UMNO di bahagian terbabit untuk mengaplikasikan mesyuarat Cawangan sebagai ruang utama bagi memantapkan parti.

Katanya, pemimpin Cawangan mempunyai laluan terus berhubung dengan anggota akar umbi yang menjadi kunci kekuatan UMNO di peringkat Bahagian seterusnya pendokong UMNO Pusat.

Lantaran itu katanya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, mesyuarat Cawangan yang sedang berlangsung ini perlu menjadi wadah yang akan memberi manfaat ke arah memperkukuh dan menyemarakkan hala tuju parti.

“Terlalu banyak yang berlaku di sekeliling kita sejak Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan yang mana memberi ruang kepada ahli-ahli di akar umbi untuk membuat penilaian antara ‘kaca dan permata, yang mana perlu digilap dan yang mana perlu diketepikan.

“Maka gunakanlah kesempatan dalam mesyuarat Cawangan ini untuk memperkukuh UMNO dan pemerkasaan parti, bincangkanlah strategi-strategi untuk memulihkan parti dan juga gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 berdasarkan suasana di sekeliling masing-masing,” katanya.

Tegasnya, hala tuju UMNO amat penting bersandarkan kepada penghayatan asas dan tujuan parti ditubuhkan yang tentunya demi kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara.

UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan bermula pada 15 Februari sehingga 30 April ini sementara mesyuarat UMNO peringkat Bahagian akan bermula pada 15 Jun hingga 30 Julai; manakala bagi bulan Ogos hingga September diperuntukkan kepada semua Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mengadakan konvensyen masing-masing seperti mana yang dikehendaki di dalam Perlembagaan parti. – UMNOPutrajaya