BeritaRencana

Tahniah Semenyih…

PUTRAJAYA – UMNO Putrajaya mengucapkan tahniah kepada para pengundi Semenyih yang membuat pilihan tepat dalam memilih calon Barisan Nasional(BN) Zakaria Hanafi sebagai wakil rakyat mereka.

Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa syukur kerana rakyat telah menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi undi yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

“Alhamdulillah. Tahniah kepada BN… tahniah kepada calon, Zakaria Hanafi dan berharap dapat berperanan mewakili rakyat Semenyih dengan sebaiknya, juga terima kasih pada Pas yang memberikan sokongan dan kerjasama mantap untuk kemenangan ini,” katanya.

Jelasnya, kemenangan BN adalah pengiktirafan rakyat terhadap kerjasama UMNO dan Pas serta penolakan terhadap PH yang tidak menepati janji, menaburkan fitnah dan sebagainya.

Semalam BN berjaya memenangi kerusi DUN Semenyih pada PRK kawasan berkenaan dengan majoriti 1,914 undi.

Calonnya Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi sekaligus mengenepikan tiga lagi calon lain yang bertanding iaitu Muhammad Aiman Zainali daripada Pakatan Harapan (PH) 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 725 undi. Manakala undi ditolak sebanyak 650 undi.

Sepanjang 14 hari tempoh berkempen di Semenyih, UMNO Putrajaya menjadi antara barisan jentera yang membantu dalam gerak kerja dan bersama-sama berusaha untuk kemenangan BN dengan diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagiannya, Tun Faisal Ismail Aziz bersama Naib Ketua Bahagian, Ahmad Faisal Abdul Karim serta para ahli jawatankuasanya. Turut bersama turun padang ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Putrajaya, Puan Husna Abdul Rahaman, jentera pemuda dan Puteri UMNO bahagian. – UMNOPutrajaya