Berita

Terima Kasih Semua… Ayuh Jayakan Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan kesyukuran kerana Himpunan Penyatuan Ummah hari ini berlangsung dengan lancar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota UMNO Putrajaya yang telah hadir sebagai peserta dan juga orang ramai yang memberikan sokongan dengan bersama-sama menjayakan himpunan dua parti Melayu Islam terbesar negara.

“Alhamdulillah… Piagam Muafakat Nasional menjadi realiti. Syukur kepada Allah SWT kerana ia dapat dilaksana dengan lancar dan mendapat sokongan dari semua khususnya rakyat ….

“Terima kasih semua yang dah sama-sama jayakan Himpunan Penyatuan Ummah hari ini.  Ayuhlah teruskan perjuangan kita, demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi yang juga Bendahari Agung UMNO.

Hari ini UMNO dan PAS mencatat sejarah yang cukup besar apabila mengisytiharkan pembentukan Piagam Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – UMNO-Putrajaya