Berita

Perhimpunan Agung UMNO 2019 Dipinda 4 – 7 Dis, Tumpu PRK Tanjung Piai

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Perhimpunan Agung UMNO 2019 dipinda ke 4 – 7 Dis depan untuk parti memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Parlimen Tanjung Piai, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen P.165 Tanjung Piai pada 16 November, Sabtu dan secara kebetulan bersamaan dengan tarikh perancangan Perhimpunan Agung UMNO iaitu 13 – 16 Nov.
“Untuk PRK Tanjung Piai, kita akan bertanding dan perbincangan serta kajian-kajian terperinci sedang dilakukan… kita hanya akan membuat pengumuman calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) setelah semua kajian, perundingan dan urusan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang berlangsung hari ini di Menara Dato’ Onn, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut memaklumkan bahawa seluruh jentera UMNO/BN akan bertumpu di Tanjung Piai.

“Kami akan menentukan bahawa seluruh jentera UMNO dan BN akan ditumpukan di Tanjung Piai,” katanya.

Jelasnya, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkaitan PRK Tanjung Piai.

Sebelum ini UMNO memutuskan persidangannya akan diadakan pada 13 – 16 Nov yang antaranya akan membawa usul pindaan Perlembagaan sebagai salah satu agenda dalam perhimpunan tersebut. – UMNO ONLINE