Berita

Pastikan Semua Pengkhianat UMNO Tidak lagi Berada Dalam Parti

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memastikan nama-nama pengkhianat dalam parti tidak ada lagi di dalam UMNO minggu depan.

Selain itu, beliau turut memberi kuasa penuh kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan yang menjadi pengkhianat di dalam parti itu.

“saya beri kuasa kepada Datuk Jo untuk ambil tindakan drastik terhadap pengkhianat… ketika mendapat ghanimah (ganjaran) mereka datang seperti semut datang pada gula. Sekarang ini kita tidak ada gula lagi. Bila kita senang mereka tidak bantu pun… bila kita susah mereka yang lari dulu.

“Sebenarnya Jawatankuasa Disiplin telah memutuskan memberi kuasa kepada badan perhubungan negeri untuk membuat keputusan di peringkat negeri. Jangan tunggu Presiden. Selepas ini buat mini konvensyen dan pecat mana yang patut dipecat,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO peringkat Wilayah Persekutan di PWTC hari ini.

Selain itu Zahid turut mengingatkan agar semua parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk berubah dan tidak lagi menggunakan acuan yang sama.

“Kalau kita tidak berubah dan masih guna acuan atau pendekatan yang sama maka kita akan melihat PWTC ini menjadi muzium UMNO.

“Kalau kita tidak mahu lihat UMNO dimuziumkan maka ketika kita ditempelak, ketika kita jadi pembangkang, kita harus bangkit,” tegas beliau. – UMhttps://umno-online.my/2019/10/20/zahid-bakal-pastikan-semua-pengkhianat-umno-tidak-lagi-berada-dalam-parti/NO ONLINE