Berita

Ku Nan Dakwa Pendakwa Diskriminasi, Sengaja Rosak Reputasinya

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Perbalahan hangat antara Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pendakwa berlarutan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini apabila bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa pihak pendakwa sengaja merosakkan imejnya.

Tengku Adnan, 69, ketika prosiding membela diri bagi tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2 juta, membidas Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim kerana mendiskriminasi beliau apabila tuduhan terhadap seorang bekas menteri kewangan digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Ini tidak adil Puan Julia, anda mendiskriminasi saya dan cuba merosakkan reputasi saya sejak hari pertama perbicaraan. Anda bercakap dengan media dan memberi kenyataan bercanggah. Ini tidak adil.

“Kenapa anda masih tuduh saya kalau anda boleh menggugurkan tuduhan terhadap bekas Menteri Kewangan sebelum ini. Saya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga perundangan. Saya tahu ke mana anda menuju dengan gaya pernyataan anda,” katanya dengan suara yang tegang dan penuh emosi.

Ahli Parlimen Putrajaya itu, yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, dipercayai merujuk kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung dengan kes pembelian sebuah lot tanah dan rumah ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Semalam, Tengku Adnan, gagal mengawal perasaan di mahkamah selepas hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonannya untuk butiran pengisytiharan asetnya didengar secara tertutup tanpa kehadiran orang awam atau pihak media.

Perbalahan hangat itu berterusan apabila Julia secara sindiran berkata: “Kenapa anda meminta saya untuk menggugurkan tuduhan, anda sepatutnya tanya Peguam Negara (AG).”

Tengku Adnan menjawab: “Betul, kamu tanya bos kamu (AG)…kamu sabar…tidak ada AG sekarang…dah letak jawatan.”

Keadaan tegang berlaku apabila Julia meminta Tengku Adnan menjelaskan tuduhannya dalam pernyataan saksinya di mana dia mendakwa bahawa tuduhan terhadapnya tidak relevan.

Bendahari UMNO itu, yang memberi keterangan pada hari ketiga prosiding bela diri itu, tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia menggunakan wang RM2 juta untuk kegunaan sendiri.

Tengku Adnan menegaskan bahawa wang yang diterima daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada UMNO bagi perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 61.

Ia didakwa dilalukan melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding bersambung 25 mac ini. – BERNAMA