Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Bermula 10 Jun Ini – PM

PUTRAJAYA, 7 Jun – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengumumkan perkara itu di pejabatnya di sini hari ini yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 hingga 12 Mei membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

PKPB kemudian dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun (Selasa) ini.

Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan PKPP ini akan melibatkan tujuh strategi iaitu:

  1. Pengukuhan Kesihatan Awam
  2. Perundangan dan Penguatkuasaan
  3. Pengukuhan Kawalan Sempadan
  4. Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi
  5. Pembudayaan Kebiasaan Baharu
  6. Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti
  7. Perlindungan Golongan Berisiko

Tegas perdana menteri, strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster) Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Di peringkat kerajaan negeri pula, strategi tersebut akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, katanya.

Muhyiddin berkata pelaksanaan strategi ini memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti. – BERNAMA

%d bloggers like this: