Mesyuarat Cawangan, UMNO Tunggu Arahan ROS – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 12 Jun –  Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mesyuarat, seminar dan kursus sedang diteliti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan diputuskan Isnin depan, 15 Jun 2020, menurut Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO masih menunggu arahan kerajaan selanjutnya bagi meneruskan mesyuarat cawangan yang telah ditangguhkan sebelum ini oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) iaitu sehingga 30 Jun 2020.

“Percakapan saya dengan Ketua Pengarah ROS, Puan Masyati Abang Ibrahim pada petang hari ini 12 Jun 2020 mengesahkan bahawa UMNO perlu menunggu pengumuman rasmi kerajaan mengenai SOP mesyuarat bagi parti dan pertubuhan,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, dimaklumkan bahawa mesyuarat AJK utama seperti Majlis Kerja Tertinggi pertubuhan boleh diadakan dengan SOP penjarakan sosial dan keselamatan kesihatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini,  Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan bahawa Persidangan UMNO Cawangan berlangsung bermula 15 Februari hingga 19 April 2020. Namun begitu, ekoran penularan COVID-19, kerajaan menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu. – UMNO Online

%d bloggers like this: