Perkukuh Puteri UMNO Demi Sokongan Golongan Muda – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Pergerakan Puteri UMNO perlu dimantapkan khususnya dalam menarik golongan muda sebagai usaha untuk mengukuhkan parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15, tegas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, ahli Puteri perlu memastikan kekuatan parti tidak dipersenda oleh mana-mana pihak.

“Kita tahu bukan mudah untuk menghadapi dugaan politik yang bukan sahaja datang dari luar tetapi juga dari dalaman tetapi itulah cabaran kita.

“Walau apa keadaan sekalipun, bahtera UMNO tidak akan dibiar sebaliknya kita perlu perteguh dan sentiasa digerakkan,” katanya dalam program Sembang Santai Bersama Puteri UMNO Bahagian Putrajaya, hari ini.

Datuk Seri Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Puteri UMNO perlu bergerak ke hadapan dan menghadapi setiap cabaran yang ada.

“UMNO sudah belajar daripada kegagalan, bergelar pembangkang dan hari ini menjadi sebahagian daripada kerajaan semula tentunya amat bermakna.

“Oleh itu, perkukuhkanlah semua peringkat dengan   mementingkan perpaduan ahli dan mengukuhkan kekuatan parti,” katanya lagi yang lebih mesra dipanggil ‘ketua kampung’ dikalangan penduduk tempatan.

Dalam program ini, turut serta ialah isteri beliau, Datin Seri Anggraini Sentiyaki dan juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Jumaitul Laily Zakiah Ismail. – UMNOPutrajaya

%d bloggers like this: