Aktiviti & KomunitiBerita

Pemuda UMNO Teras Kesinambungan Perjuangan, Perkukuh Tekad Untuk Parti

PUTRAJAYA – Pemuda UMNO adalah teras dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti demi memartabatkan agama, bangsa dan negara, tegas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Pemuda UMNO adalah pemangkin penting dalam perjuangan di samping khidmat bakti yang berterusan demi membawa kebaikan untuk rakyat khususnya golongan muda.

“Apa yang penting ialah menyelami isu rakyat dengan menganjurkan mendekati mereka, bersama turun padang dan tidak untuk kumpulan tertentu sahaja,” katanya sambil menegaskan pendekatan sebagai kumpulan yang turun ke akar umbi amat penting.

Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan ‘Ketua kampung’ meminta golongan muda untuk proaktif menangani isu-isu rakyat.

“Sekarang ini ramai yang terkesan dengan pelbagai isu jadi Pemuda UMNO harus ke depan memenangi setiap perkara berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sembang Santai bersama Pemuda UMNO Putrajaya yang berlangsung malam ini di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya.

Dalam kesempatan tersebut, Datuk Seri Tengku Adnan turut mengambil peluang mendengar dan bertukar-tukar fikiran berkaitan isu-isu penduduk setempat khususnya membabitkan golongan muda.

Beliau juga turut berpesan agar mengaktifkan gerak kerja disemua peringkat bagi memastikan kesiapsiagaan sekiranya Pilihan Raya Umum berlaku dalam masa terdekat. – UMNOPutrajaya