Rencana

Iltizam Bebas Rasuah, Bersihkan Liabiliti Korporat

SELEPAS lima tahun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melihat penggubalan, penguatkuasaan dan pelaksanaan satu peruntukan undang-undang khusus berkaitan dengan liabiliti korporat akhirnya menjadi kenyataan. Saya masih ingat antara syor yang digariskan dalam Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), di mana anggotanya terdiri daripada kalangan ahli Parlimen, adalah agar kerajaan meminda Akta SPRM 2009 bagi memasukkan peruntukan berkaitan dengan liabiliti korporat. Untuk rekod JKMR yang pernah saya anggotai merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM untuk memantau fungsi dan perjalanan suruhanjaya itu yang dibentuk 13 tahun yang lalu, dan memastikan fungsinya dalam mencegah rasuah adalah berkesan dan memenuhi matlamat yang disasarkan.

Dari segi usia perjalanan SPRM, pengenalan peruntukan liabiliti korporat dalam Akta SPRM merupakan satu pencapaian yang harus dipuji dan dialu-alukan oleh semua pihak yang inginkan persekitaran bebas rasuah, terutama dalam sektor korporat. Rasuah tidak mengenal sektor. Rasuah membabitkan orang perseorangan dan juga organisasi, sama ada komersial ataupun bukan komersial. Tanggapan sebelum ini “korporat memberi, sektor awam menerima”. Kita perlu menghapuskan persepsi sedemikian.

Kita bukan sahaja disajikan dengan laporan media bahawa kelompok individu didakwa di mahkamah, malah kecurangan organisasi korporat juga terlibat dalam salah laku rasuah dan penyelewengan juga sering dilaporkan. Di dalam dan di luar negara. Sesetengah organisasi ini ada kaitan dengan entiti yang beroperasi dalam negara.

Bermakna sudah tiba masa perlu adanya kerangka perundangan yang lebih menyeluruh dalam perkara ini, yakni menyediakan peruntukan yang dengan tegas menekankan bahawa pengurusan organisasi atau entiti korporat juga mempunyai tanggungjawab dalam memastikan persekitaran bebas rasuah yang lebih menyeluruh dapat dicapai.

Sudah sebulan Seksyen 17A Akta SPRM 2018 yang dimaksudkan sudah dikuatkuasakan meskipun ada desakan dan cadangan daripada banyak pihak agar penguatkuasaan peruntukan itu ditangguhkan buat sementara waktu, sekurang-kurangnya setahun lagi atas alasan negara masih berhadapan dengan kesan wabak COVID-19. Impak wabak itu turut menggugat operasi sektor korporat. Meskipun negara berhadapan dengan impak wabak COVID-19, kerajaan yang memperlihatkan ketegasan dan komitmen untuk membanteras rasuah, mengumumkan penguatkusaan peruntukan liabiliti korporat membabitkan organisasi komersial.

Pindaan itu berkuat kuasa mulai 1 Jun. Kesemua pihak berkepentingan telah diberikan satu tempoh ‘bertenang’ selama dua tahun untuk membuat segala persiapan dan persediaan bagi menghadapi persekitaran baharu korporat iaitu ke arah bebas daripada salah laku rasuah. Oleh itu, tidak patut ada alasan untuk mengatakan sektor korporat tidak bersedia dan menggunakan impak COVID-19 sebagai alasan untuk penangguhan.

Sepatutnya norma baharu yang sudah mula diamalkan di sebalik krisis kesihatan COVID-19 menjadi asas yang kukuh untuk menerima penguatkuasaan peruntukan liabiliti korporat. Kita wajar mengadaptasikan operasi dalam persekitaran baharu ini. Bahkan perlaksanan Seksyen 17A Akta SPRM 2018 ini mendapat pelbagai pujian dan keyakinan tinggi daripada kalangan anggota Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific (MAC), Pertubuhan Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre Associations) yang mana saya terpilih buat julung kali dalam sejarah Malaysia untuk mengetuainya dalam pemilihan di kalangan anggota pertubuhan baru-baru ini.

Seksyen 17A adalah satu peruntukan yang menetapkan prinsip liabiliti korporat yang mana organisasi komersial akan dianggap telah melakukan suatu kesalahan jika mana-mana pekerja dan/atau pihak bersekutunya melakukan rasuah untuk faedah organisasi. Organisasi terbabit boleh disifatkan bersalah dalam keadaan sama ada atau tidak, pihak pengurusan atasannya atau wakilnya tahu tentang kelakuan rasuah yang dilakukan oleh pekerja atau pihak bersekutunya. Sebagaimana diharapkan peruntukan baharu ini sudah pasti akan mendorong organisasi-organisasi komersial mengambil langkah yang wajar dan selari bagi memastikan urus niaga atau bisnes dijalankan dengan berintegriti dan tanpa gejala rasuah.

Ia juga bertujuan menggalakkan perniagaan dijalankan dalam persekitaran bebas rasuah, dan menggalakkan organisasi komersial untuk mengambil langkah yang bersesuaian dan selari bagi memastikan perniagaan yang dijalankan tidak terlibat dalam aktiviti rasuah untuk tujuan kepentingan dan matlamat mereka. Langkah- langkah yang diambil perlu merangkumi dalam bentuk polisi dan prosedur, latihan, komunikasi dan penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanannya.

Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai Tatacara Mencukupi dalam operasinya. Penalti kesalahan ini dipercayai akan meningkatkan kesedaran kesemua pihak agar menjauhi sebarang bentuk salah laku berkaitan.

Bagi membolehkan kesemua pihak memahami dengan mendalam dan menghayati semangat peruntukan ini, kerajaan juga telah mengeluarkan satu garis panduan khas. Garis panduan itu dikeluarkan untuk membantu organisasi komersial memahami kaedah pelaksanaan tatacara mencukupi yang boleh dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan. Garis panduan itu diwujudkan berasaskan lima prinsip utama yang boleh dijadikan asas rujukan oleh organisasi komersial untuk melaksanakan apa-apa polisi, prosedur dan langkah kawalan berkaitan antirasuah yang bersesuaian ke arah mencapai matlamat mempunyai tatacara mencukupi sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

Tahun lalu, Malaysia telah berjaya memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) apabila melonjak 10 tangga. Ia dikaitkan dengan impak usaha berterusan yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi rasuah. Awal tahun lalu kerajaan telah memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 bagi meningkatkan usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.

Dalam pada itu, sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut juga menzahirkan komitmen bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan mengetepikan usaha membanteras rasuah. “Kita akan serah kertas aku janji untuk komitmen pimpinan dalam kerajaan bagi tentukan integriti kerajaan pada tahap paling tinggi.” Pendirian yang sama dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah Siri 12 Bilangan 2 Tahun 2020 baru-baru ini. Kata beliau, kerajaannya akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Malaysia kini berada dalam landasan yang tepat dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah. Perkembangan sejak kebelakangan ini juga menunjukkan banyak pihak sudah mula menerima keperluan peruntukan Seksyen 17A, tidak kira sektor awam atau swasta.

Diyakini bahawa pelbagai usaha yang diambil akan membawa hasil yang cukup baik. Tidak dapat dinafikan inisiatif-inisiatif ini akan memerlukan masa untuk dilihat kesan dan impak. Apa penting adalah kita perlu ada komitmen dan iltizam untuk mencapai sasaran persekitaran bebas rasuah di semua peringkat dan sektor.


DATUK SERI DR IRMOHIZAM IBRAHIM
Pengerusi
Majlis Penasihat Anggota Asia Pasific (MAC),
Pertubuhan Pusat Dagangan Dunia (WTCA)
(World Trade Centre Associations)