Berita

Jangan Tanamkan Semangat Kebencian, Pentingnya Jaga Identiti Malaysia

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru orang ramai untuk mengekalkan identiti Malaysia iaitu dengan mempertahankan bendera ‘Jalur Gemilang’ khususnya menjelangnya bukan kemerdekaan tidak lama lagi.

Katanya, sepanjang 22 bulan yang lalu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) macam-macam perkara berlaku termasuklah timbulnya semangat kebencian antara sesebuah kaum yang secara tidak langsung telah merosakkan perpaduan negara.

“Macam-macam telah berlaku selama 22 bulan itu . Ada yang sengaja menanamkan semangat kebencian terhadap sesebuah kaum sedangkan tidak pernah berlaku dalam negara kita selama lebih 60 tahun kita merdeka… tapi 22 bulan mereka mentadbir telah ada sifat dan sikap kebencian antara kaum.

“Ini masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan hari ini. Namun saya yakin dan kita di Putrajaya sendiri akan cuba untuk mengatasi masalah yang telah dilakukan oleh puak-puak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Saya rayu jangan kita cuba tanamkan semangat kebencian antara satu sama lain,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN)/UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan program program’ Merdeka Community Bonding’ dan Majlis Penyerahan Bendera
‘Jalur Gemilang’ kepada wakil komuniti setempat di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau menjelaskan tentang peranan setiap warganegara untuk menjaga bendera Malaysia.

“Bendera adalah identiti kita yang kita bawa kemana-mana, dalam sukan, dalam apa-apa pertandingan pun maka kita perlu pertahankan bendera ini kerana ia adalah identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” tegasnya.

Ujarnya, apa yang perlu adalah didikan, pengetahuan dan ibu bapa juga mesti memainkan peranan dengan menceritakan kepada anak-anak bahawa apa yang kita dapat hari ini bukan datang secara tiba-tiba.

Program ‘Merdeka Community Bonding’ ini dilaksana bagi menyuntik kesedaran awal kepada rakyat mengenai sambutan Bulan Kemerdekaan Ogos hadapan dan untuk meningkatkan tahap patriotik serta cintakan negara secara menyeluruh. – UMNOPutrajaya