Aktiviti & Komuniti

Sembang Santai Anak Muda Fokus Perjuangan Dan Masa Hadapan Negara

PUTRAJAYA – Demi kesinambungan perjuangan UMNO sebagai parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan tekad dengan fokus mendekati anak muda untuk memahami perjuangannya.

Naib Ketuanya, Saudara Mohd Zushaidey Zulkifli atau lebih mesra dengan panggilan Zach berkata, usaha bagi mendekati golongan muda adalah antara gerak kerja berterusan yang dilaksana di kawasan terbabit.

“Kita akan terus mendekati anak muda kerana mereka adalah penentu masa depan negara dan saya gembira kerana berkesempatan bersama golongan anak-anak muda di sini,” katanya yang mengadakan pertemuan secara terbuka menerusi Program Sembang Santai Anak Muda, malam tadi.


Katanya, banyak perkara yang telah dikongsi bersama dengan kesempatan mendengar sendiri rasa hati mereka terhadap isu-isu semasa.

“Alhamdulillah, kita dapat dilihat mereka ini mulai sedar betapa pentingnya kuasa dan hak politik untuk masa depan negara, kestabilan ekonomi dan jati diri yang kuat terhadap agama dan bangsa.

“Kita juga membincangkan berkaitan peluang pekerjaan dan ekonomi anak-anak muda ekoran kesan Pandemik COVID-19, bantuan-bantuan prihatin yang disediakan oleh pihak kerajaan serta perkembangan politik semasa negara selain jaminan dan hala tuju golongan muda buat anak-anak muda pada masa akan datang.”

Dalam kesempatan tersebut, Zach juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jenjarum yang telah mengusahakan pertemuan dengan anak-anak muda ini lantas menarik minat mereka menyertai UMNO.

“Selamat datang ke dalam keluarga besar parti keramat ini. Tahniah saya ucapkan kerana mahu meneruskan perjuangan dalam UMNO bersama-sama kami,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya