Rencana

Waspada COVID 19: Kluster Sivagangga Merebakkan Kes Penularan

KUALA LUMPUR – Kes penularan tempatan sepanjang rangkuman minggu ini didominasi Kluster PUI (Pesakit Bawah Siasatan) Sivagangga yang pertama kali dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 28 Julai lepas.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 6 Ogos 2020, seramai 2,351 orang dilaporkan disaring dalam kluster ini.

Daripada jumlah tersebut, 30 kes dikesan positif COVID-19, 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan (persampelan pada 5 Ogos 2020). Lima kes pertama daripada kluster ini diumumkan pada 28 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 pada Khamis turut menyuarakan kebimbangan Kluster Sivagangga yang bermula di Kedah itu ada kaitan dengan genom Covid-19, yang dikenal pasti sebagai super spreader atau perebak utama di Mesir dan Pakistan.

Ini memandangkan kluster berkenaan merebak lebih pantas berbanding kluster lain di negara ini termasuk yang berlaku di Sarawak.

KKM, kata beliau akan menjalankan kajian sama ada negara berhadapan dengan satu kluster super spreader.

Kes indeks kluster ini adalah pemastautin tetap yang kembali dari India pada 13 Julai dan beliau (pemilik kedai makan) di Kedah, pernah tular dalam media sosial kerana melanggar peraturan kuarantin.

Sepanjang rangkuman mingguan ini, laporan kes baharu yang melibatkan Kluster Sivagangga adalah satu (1) kes pada Sabtu 1 Ogos, 11 kes pada Ahad 2 Ogos, satu (1) kes pada Isnin 3 Ogos, tiga (3) kes pada Rabu 5 Ogos dan enam (6) kes pada Khamis 6 Ogos.

KES AKTIF KEMBALI TIGA ANGKA

Sementara itu, setakat pukul 12 tengah hari Khamis 6 Ogos, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 9,038 kes apabila 15 kes baharu dilaporkan.

Dengan demikian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada tiga angka, iaitu sebanyak 200 kes.

Daripada 15 kes itu, lima (5) kes adalah kes import, melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara. Lima (5) kes import tersebut adalah dari Filipina (4 kes di Sabah) dan Afrika Selatan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Daripada 10 kes penularan di dalam negara, lapan (8) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia termasuk enam (6) kes Kluster Sivagangga.

Sebanyak 11 kes COVID-19 telah pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,713 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dua (2) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu COVID-19 dilaporkan dan angka kekal 125 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

Di samping Kluster Sivagangga yang merebak kerana melanggar perintah kuarantin, Dr Noor Hisham pada sidang media Isnin 3 Ogos turut menyenaraikan kluster aktif lain yang didapati berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sejak ianya mula dilaksanakan pada 10 Jun 2020.

Kluster-kluster tersebut adalah Kluster PUI Novgorod, Kluster Elsa, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster PUI Shirala.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang media pada Khamis 6 Ogos berkata dari 24 Julai hingga 5 Ogos 2020, seramai 6,473 individu pulang melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Mereka ditempatkan di 26 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, P.Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis.

Daripada jumlah itu, seramai 18 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif COVID-19.

Beliau turut menyatakan kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan perintah kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan kumulatif terhadap 80 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah ketika pemeriksaan dan pemantauan dijalankan PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin 3 Ogos.

WHO DAN SITUASI GLOBAL

Jawatankuasa Darurat COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermesyuarat pada Jumaat 31 Julai untuk mengkaji semula keadaan pandemik tersebut.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media dari Geneva, Switzerland pada Isnin 3 Ogos menyatakan sewaktu Jawatankuasa itu berjumpa tiga bulan lalu, tiga juta kes COVID-19 dilaporkan kepada badan dunia itu dengan lebih 200,000 kematian.

Keadaan itu jauh berbeza ketika WHO mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam pada 30 Januari lepas di mana cuma ada kurang daripada 100 kes dan tiada kematian di luar China.

Jumlah kes pada hari ini sudah meningkat lebih lima kali ganda kepada sekitar 17.5 juta (sehingga Isnin 3 Ogos) dengan kematian sekitar 680,000.

Dr Tedros mengingatkan pada masa ini masih belum ada penyelesaian mudah kepada pandemik COVID-19 dan kemungkinan tidak akan ada.

“Untuk menyekat penularan penyakit ini, buat masa ini, perlu balik kepada perkara asas kesihatan awam dan kawalan penyakit. Buat ujian, asingkan dan rawat pesakit serta mengesan dan kuarantin kontak mereka. Buatlah semua itu.

“Maklumkan kepada komuniti, beri mereka tanggungjawab dan dengar apa mereka kata. Untuk individu, jaga penjarakan fisikal, pakai pelitup muka, cuci tangan sekerap muingkin dan jika batuk, batuhlah jauh daripada orang lain.

“Pesanan kepada orang ramai dan kerajaan adalah jelas: Lakukan semuanya itu. Sekiranya keadaan terkawal, teruskan! Perkukuhkan sistem kesihatan, “ kata beliau.

Menurut Dr Tedros, di samping impak kesihatan, COVID-19 turut merentap kestabilan sosial, ekonomi dan politik.

WHO turut memantau beberapa negara yang kelihatan berjaya mengawal pandemik COVID-19 tetapi kini bergelut dengan peningkatan kes baharu.

“Ada juga negara yang berjaya mengawal pandemik ini. Memang bukan mudah. Kawalan ketat juga mencetuskan masalah ke atas perkhidmatan kesihatan, ekonomi dan masyarakat,” katanya.

STATISTIK GLOBAL COVID1-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 19,257,649 kes (rangkuman minggu lalu 17,499,767 kes) dan 717,687 kematian (minggu lalu 677,185 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 12,357,654 orang (minggu lalu 10,956,538 orang)

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak COVID-19 dengan 5,032,179 kes (minggu lalu 4,634,985 kes) dan 162,804 kematian (minggu lalu 155,285 kematian). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Jumlah kes COVID-19 turut meningkat di Brazil yang kekal di tangga kedua iaitu 2,917,562 kes (minggu lalu 2,613,789 kes) dengan 98,644 kematian (minggu lalu 91,377 kematian).

Tempat ketiga, India 2,025,409 kes (minggu lalu 1,643,543 kes) dengan 41,638 kematian (minggu lalu 35,817), sementara Rusia merekod 871,894 kes (minggu lalu 839,981 kes) dengan 14,606 kematian (minggu lallu 13,963 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 21 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, seperti berikut:-

Afrika Selatan 538,184 kes (9,604 kematian), Mexico 462,690 kes (50,517 kematian), Peru 455,409 kes (20,424 kematian), Chile 366,671 kes (9,889 kematian), Colombia 357,710 kes (11,939 kematian), Sepanyol 354,530 kes (28,500 kematian), Iran 320,117 kes (17,976 kematian), United Kingdom 308,134 kes (46,413 kematian), Arab Saudi 284,226 kes (3,055 kematian), Pakistan 281,863 kes (6,035 kematian), Itali 249,204 kes (35,187 kematian), Bangladesh 249,651 kes (3,306 kematian), Turki 237,265 kes (5,798 kematian), Argentina 228,195 kes (4,251 kematian), Jerman 215,210 kes (9,252 kematian), Perancis 195,633 kes (30,312 kematian), Iraq 140,603 kes (5,161 kematian), Filipina 119,460 kes (2,150 kematian), Indonesia 118,753 kes (5,521 kematian), Kanada 118,561 kes (8,966 kematian) dan Qatar 112,092 kes (178 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-30 dengan 84,5565 kes (minggu lalu 84,292 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia sudah menyertai senarai 24 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19, dengan 118,753 kes (minggu lalu 108,376 kes) dengan 5,521 kematian (minggu lalu 5,131 kematian).

Filipina turut menyertai senarai tersebut dengan 119,460 kes (minggu lalu 93,354 kes) dengan 2,150 kematian (minggu lalu 2,023 kematian).

Singapura pula merekodkan 54,555 kes (minggu lalu 52,205 kes). Angka kematian kekal 27.

Ini diikuti oleh Thailand dengan 3,330 kes (minggu lalu 3,304 kes) dan angka kematian kekal 58.

Sementara itu, kes COVID-19 di Vietnam meningkat kepada 747 kes (minggu lalu 509 kes) dengan angka kematian 10 berbanding sifar sebelumnya.

Myanmar turut merekod kenaikan kepada 357 kes (minggu lalu 353 kes) dengan angka kematian kekal enam (6).

Sementara itu, tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) dan Laos kekal 20 kes dan sifar kematian.

———————————————————————————————
RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

— Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

— Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

— Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019). – BERNAMA