Kerajaan Warisan/PH Sabah “Kelentong, Banyak Bohong…” – Ghazalie
TAWAU – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Sabah, Ghazalie Ansing berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini amat penting, ia agak berbeza dengan pilihan-pilihan raya sebelum ini.
Katanya, PRN yang bakal berlangsung merupakan satu penanda aras ke mana hala tuju negeri Sabah harus dipacu.
“Kita telah lihat sepanjang dua tahun setengah pemerintahan kerajaan Warisan (Parti Warisan Sabah) bersama Pakatan Harapan (PH) banyak gagal dan rakyat pada hari ini telah sedar, sudah mula membandingkan kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan PH di mana BN jauh lebih bagus dan mampu membela nasib rakyat.
“Parti Warisan bersama PH pada hari ini “kelentong, banyak bohong” kata orang tempatan, itu realitinya,” tegasnya kepada UMNO Online, ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya juga, wujud stigma yang dibawa Warisan, Sabah for Sabahan adalah satu konsep yang amat tidak sesuai.
“Konsep tersebut pada pandangan saya amat tidak sesuai yang mana baru-baru ini beliau (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) baru bersekongkol dengan parti-parti seperti Dap dan PKR untuk membentuk kerajaan.
“Yang mana kalau betul Sabah for Sabahan sepatutnya dia tidak bekerjasama dengan Dap dan PKR bagi membentuk kerajaan. Kalau kita lihat sendiri dalam rumah beliau sendiri pun ada orang Semenanjung,” sinisnya lagi.
Tambah Ketua UMNO Bahagian Tawau itu lagi, negeri Sabah adalah salah satu komponen bagi membentuk kerajaan Malaysia.
“Jadi kita perlukan sebuah parti yang berbentuk federalism bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat kerana pentadbiran kerajaan negeri dengan pentadbiran kerajaan persekutuan tidak boleh dipisahkan.
“Bila ianya terpisah, rakyat menderita rakyat sengsara. Bila mana dulu kita telah lihat UMNO dan BN, kita mempunyai persefahaman penuh dengan kerajaan persekutuan, kita berjaya membina negeri Sabah dengan jayanya, kita berjaya membela nasib-nasib rakyat di luar bandar mahupun di bandar dengan sebaiknya.
“Jadi kita mahu zaman tersebut, zaman kegemilangan kita bantu rakyat kembali semula. Dan saya yakin rakyat Sabah khasnya di luar sana amat merindui kerajaan pimpinan BN,” katanya.
Justeru, Ghazalie menyeru rakyat Sabah membuat pilihan yang tepat pada PRN kali ini dengan memilih BN demi menjamin kebajikan dan mutu kualiti hidup rakyat keseluruhannya.
Manakala dari segi persiapan parti, katanya setiap jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi PRN itu nanti.
“Sehingga ke hari ini kita telah bersiap siaga dengan kekuatan jentera penuh di setiap PDM-PDM. Jentera kita pun cukup bersedia bagi menghadapi pilihan raya.
“Sekarang ini kita hanya menanti tarikh yang bakal diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) penamaan calon dan pembuangan undi,” katanya. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.