PRN Sabah: Pembahagian Kerusi BN, PN Hampir Selesai – Annuar Musa

LABUAN – Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta sekutu mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah hampir 95 peratus siap dan akan diumumkan Selasa ini.

Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa berkata BN, PN dan sekutu mereka telah mencapai konsensus mengenai peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan penggunaan logo parti bagi pilihan raya mengejut itu.

“Sebagai pembangkang di Sabah, kami dalam BN dan PN telah bersetuju bekerjasama untuk pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi memberi rakyat alternatif untuk Sabah yang lebih baik,” katanya yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah.

Bercakap kepada pemberita pada hari terakhir lawatan kerja dua hari ke Labuan, malam tadi, Annuar berkata barisan pembangkang akan memastikan calonnya tidak akan bersaing antara satu sama lain dan ahli parti akan menyokong wakil yang dicalonkan.

PN di Sabah terdiri daripada parti Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN mempunyai UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.

Annuar, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata setiap parti politik terutama daripada PN dibenarkan menggunakan logo parti masing-masing pada PRN kecuali parti komponen BN yang akan menggunakan logo BN.

“Terpulang kepada parti politik masing-masing menggunakan logo parti kerana sentimen pengundian berbeza mengikut kawasan…mereka perlu melakukan penilaian mereka sendiri. Bagi kami, parti komponen BN akan menggunakan lambang dacing dan membenarkan parti lain yang menjadi rakan BN bertanding di bawah BN.

“Tetapi kami difahamkan PN yang baru didaftarkan mempunyai logo sendiri dan ia digunakan oleh Bersatu dan satu atau dua parti yang menjadikan rakan PN. Kami bersetuju dengan itu tetapi apa yang penting, kami berkongsi satu manifesto dan kami akan saling menyokong,” katanya.

Mengenai ura-ura wujud tiga puak (Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan) dalam UMNO Sabah, Annuar berkata ia adalah senario biasa bagi pemimpin dalam parti politik untuk mempunyai pandangan berbeza.

“Perbezaan telah ditangani…tidak seharusnya ada masalah lagi. Kini, fokus kami adalah rundingan dengan parti politik lain supaya penagihan kerusi adalah adil.

“Apabila bekerjasama sebagai satu pasukan, perlu ada tolak ansur. Walaupun begitu, kita sudah lebih kurang mempunyai garis panduan dari segi jumlah kerusi bagi BN, Bersatu, PBS dan PBRS dan ini semua harus siap dalam beberapa hari lagi.

“BN dan rakan-rakan PN yang kami namakan sebagai Barisan Pembangkang Bersatu bersemangat untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya.

Annuar berkata Sabah adalah sebuah negeri yang unik ketika berdepan dengan pilihan raya kerana parti politik perlu memahami nadi rakyat dengan masalah kemiskinan masih lagi menjadi isu di negeri itu.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadual pada 26 Sept dengan hari penamaan calon pada 12 Sept manakala hari mengundi awal, 22 Sept. – BERNAMA

%d bloggers like this: