Berita

PRN Sabah: 447 Calon Disahkan Bertanding Di 73 DUN

KOTA KINABALU, 12 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 Sept ini selepas tempoh penamaan berakhir pukul 10 pagi tadi.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata daripada jumlah itu 404 calon adalah lelaki manakala 43 lagi calon wanita.

Beliau berkata daripada 447 calon itu, seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22).

“Selain itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebanyak 12 calon, PKR (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).

“Sepanjang tempoh penamaan calon, hanya terdapat satu kertas penamaan telah ditolak atas sebab calon tidak layak bertanding kerana telah diisytihar bankrap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata seramai 56 calon Bebas turut disahkan bertanding pada PRN Sabah.

Beliau berkata DUN Bengkoka, menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu 11 penjuru diikuti Inanam dengan pertandingan 10 penjuru.

“Sebanyak 26 DUN akan menyaksikan pertandingan enam penjuru, 15 DUN (lima penjuru) dan 13 DUN (tujuh penjuru).

“Selain itu, enam DUN (lapan penjuru), lima DUN (empat penjuru) dan tiga DUN (tiga penjuru),” katanya.

Beliau berkata calon termuda pada PRN Sabah kali ini berusia 22 tahun yang bertanding di Tandek, manakala calon tertua berumur 75 tahun bertanding di DUN Bugaya.

“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRN Sabah kali ini boleh mencecah kira-kira 75 peratus dan keputusan pengiraan undi dijangka boleh diselesaikan sebelum pukul 12 malam 26 September ini,” tambahnya. – BERNAMA